Movie Review- Batman v Superman: Dawn of Justice (2016)

Untuk filem dari DC Comics yang terbaru, Dawn of Justice telah membuatkan peminat filem rasa tidak keruan dan tidak sabar dengan kemunculannya. Secara peribadi, aku teringat semasa menonton filem animasi, The Dark Knight Returns yang diadaptasi dari novel grafik tajuk yang sama karya Frank Miller (300, Sin City). Namun begitu, ramai pengkritik memberi komen negatif kepada filem ini. Peminat juga ada yang tidak boleh menerima filem ini. Kenapa?

Biarlah aku bercerita tentang kebaikan filem ini. Dari segi lakonan, Ben Affleck sudah pasti membawa baton yang berat ditinggalkan oleh Christian Bale kali terakhir pada tahun 2012, The Dark Knight Rises. Ramai yang meragui kredibiliti Affleck kerana dalam resumenya, ada Daredevil, filem yang tidaklah dapat kritikan positif. Sejak dari itu, Ben Affleck dilihat bukanlah seorang pelakon yang mampu membawa watak superhero. Namun, dalam Dawn of Justice, Affleck membawa watak Bruce Wayne/Batman dengan begitu baik sekali. Sesuai dengan susuk tubuh beliau yang besar, mengingatkan penonton kepada susuk tubuh Bruce Wayne dalam The Dark Knight Returns. Mungkin ini merupakan faktor utama yang membolehkan Ben Affleck menggalas tugas ini.

Jesse Eisenberg membawa watak si batu api, Lex Luthor. Pelik juga kerana Lex dalam filem ini berambut panjang. Untuk orang yang tidak mengikuti komik DC Universe, aku merasakan watak ini tidak mengikut apa yang aku dan penonton seperti aku tahu pasal Lex Luthor. Dia botak dan satu sekolah dengan Clark Kent. Mungkin pengaruh drama tv Smallville agaknya. Aku melihat Lex Luthor dalam Dawn of Justice adalah Lex Luthor yang bijak, nerd, obses terhadap sesuatu dan psycho. Maka, sebab itulah Jesse Eisenberg sangat kena dengan watak ini.

Babak berlawan diantara Batman dan Superman merupakan babak yang paling aku tunggu. Aku seronok dan terhibur. Orang yang pernah menonton atau membaca The Dark Knight Returns sudah pasti tahu bagaimana Batman boleh mengatasi Superman itu sendiri. Yang pasti, babak ini merupakan satu pengajaran buat Superman dari Batman yang dia sebenarnya tidaklah kuat mana, kerana manusia seperti Batman tahu bagaimana hendak menewaskan makhluk seperti Superman yang manusia ketika itu sendiri menganggap dia seperti tuhan.

Satu perkara lagi, easter eggs tentang kemunculan Justice League banyak ditonjolkan dalam filem ini. Paling jelas dan nyata ialah Wonder Woman. Yang lain aku tak nak cerita. Tetapi, ianya sangat membuatkan aku teruja. Paling menarik perhatian aku ialah babak dimana Bruce Wayne melihat suit yang diconteng dengan spray, “HAHAHA The Joke’s on you Batman” ialah klu kepada kemunculan Joker. Adakah Robin dan Batman akan membuat cameo dalam filem Suicide Squad nanti? Ini yang membuatkan aku tidak sabar.

Dari aspek kelemahan, aku kecewa dengan promosi filem ini. Ketika trailer filem ini dikeluarkan, ia seperti dalam keadaan terburu-buru. Yang paling penting, tiada apa kejutan yang hendak ditonjolkan apabila filem ini keluar panggung. Bila nampak mayat General Zod, kemunculan Doomsday dan Wonder Woman membuatkan aku dan semua penonton merasakan, “ini trailer ke tunjuk terus ni?”. Tiada apa yang mengejutkan apabila aku menonton Dawn of Justice.

Dari segi plot, aku faham kenapa ada penonton yang tertidur dalam panggung dan merasa bosan. Jalan cerita perlahan aku rasa ok. Tapi bila sub plot yang banyak, aku rasa ni memeningkan sesetengah penonton. Bayangkan, watak pekerja Bruce Wayne yang kudung kaki pun ada character developmentnya sendiri. Malangnya, dia tak pergi jauh. Plot macam ni bagi aku sia-sia. Lagi satu, cara dia nak tunjuk Justice League tu macam terburu-buru sangat. Tu belum lagi babak mimpi.

Keseluruhannya, aku rasa filem ini average tetapi berjaya memuaskan hati peminat setia DC Comics. Zack Snyder pandai mengambil hati peminat-peminat komik atau kata lainnya, fanboy. Aku sejujurnya rasa ok dengan filem ini. Kadang kala, pengkritik terlalu membandingkan Batman versi Nolan. Versi Nolan di satu tahap yang berbeza. Tidak adil untuk menyamakannya.

Jika anda masih rasa Christian Bale lebih bagus jadi Batman, aku sarankan jangan tonton Suicide Squad. Kerana Jared Leto juga membawa baton yang sama seperti Affleck. Cuma Leto lagi berat. Dia membawa watak Joker yang pernah digalas oleh mendiang Heath Ledger. Lagilah…

…dan ingat, ini bukanlah Marvel Studios. Tiada elemen fun atau kekeluargaan. DC comics adalah kartun yang depression, dark dan tidak sesuai untuk kanak-kanak. Bukan semua filem dari DC ada happy ending.

Aku rasa aku mampu lagi menonton filem ini 2 kali. Macam  aku tonton Man of Steel dulu. Selepas aku mengetahui easter eggs yang ada dalam filem ini membuatkan aku hargai setiap babak yang aku tonton petang tadi.

7/10

Nirvana dan 10 Lagunya Yang Terbaik

Nirvana sudah lama terkubur sejak dari kematian Kurt Cobain lagi. Dave Grohl terus buat kumpulan baru, Foo Fighters. Walaupun ada mini reunion yang melibatkan Krist, Dave dan Pat Smear, Nirvana tetap tidak sama dengan ketiadaan Kurt. Secara jujurnya, Nirvana antara kumpulan rock yang banyak memberi pengaruh besar dalam hidup aku terutamanya ketika aku mula membesar. Lagu pertama Nirvana aku dengar ialah You Know Your Right masa aku darjah 6. Aku belajar gitar, lagu Nirvana pertama yang aku reti main sampai habis ialah Come As You Are. Walaupun ada orang cakap Nirvana ni dah lapuk kalau aku masih dengar pada tahun 2016 ni, aku tetap layan macam aku mula-mula dengar pada tahun 2002. Berikut adalah top 10 lagu-lagu Nirvana yang paling aku minat.

10. Drain You

Lagu ni menarik sebab dia mula dengan clean kemudian masuk ke track yang distorted. Antara lagu yang buat aku goyang kepala. Riff gitar dia senang dimainkan dan senang ingat. Lirik dia aku tak pasti pasal apa. Ada cakap-cakap, lagu ni pasal Kurt sendiri bergelut dengan ketagihan heroin. Mungkin lebih kepada interpretasi sahaja.

9. School

Riff gitar lagu School bagi aku sangat berat. Suara Kurt juga sudah cukup nak cerita betapa tidak gemarnya dia dengan zaman sekolah. Pendapat aku lepas menonton Dokumentari Montage of Heck, Kurt Cobain memang tidak menggemari zaman sekolahnya. Lagu ni antara lagu wajib aku dengar sebelum ke kelas masa zaman degree dan master. Sebab lagu ni jujur.

8. Territorial Pissings

Anehnya, pertama kali aku mendengar lagu ni masa aku mula-mula beli ipod dan ada satu album penuh Nevermind. Pujian melambung aku beri kepada Dave Grohl kerana drum track yang sangat padu. Kalau persembahan live, set drum dan gitar mesti pecah. Classic Nirvana.

7. In Bloom

4 benda yang aku suka dalam lagu In Bloom.

i) Intro drum. Kata Dave, dia kreditkan drum track In Bloom kepada Chad Channing (drummer awal Nirvana sebelum Dave)

ii) Bassline Krist

iii) Gitar solo Kurt

iv) Chorus “he’s the one who likes all our pretty songs and he likes to sing along and he likes to shoot his gun. But he knows not what it means

6. Lithium

Sejujurnya, ni lagu yang kalau aku main gitar, aku selalu lupa chordnya. Sebab banyak sangat. Tapi masih lagi lagu yang sedap untuk dinyanyikan ramai-ramai. Terutamanya part chorus. Aku melihat lagu ni sebagai lagu “dadah” atau “high”

5. Serve The Servants

Lagu ni ada kaitan Kurt dengan bapanya. Kisah penceraian ibu bapanya pun jelas nampak dalam lagu ini. Kali pertama aku suka lagu ini masa aku beli DVD Nirvana: Live & Loud (1993) kat Kota Raya. Balik sekolah, dengan duit yang aku kumpul, terus aku beli. Lagu ini juga mengingatkan aku kepada perjalanan aku dari sekolah ke Kota Raya semata-mata nak beli DVD Nirvana.

4. Something In The Way

Lagu paling senang nak main gitar. Guna 2 chord sahaja. Tapi lirik lagu ini sangatlah mendalam dan sedih. Kisah hidup Kurt yang pernah dibuang dan duduk di bawah jambatan sungai Wishkah. Dia terasing. Vokal Kurt dalam lagu ini sangatlah mantap.

3. Smells Like Teen Spirit

Semua orang tahu lagu ini lagu Nirvana. Bagi aku, lagu ini bukanlah lagu nombor 1 dalam kepala aku. Namun, lagu ini adalah ‘anthem’ kepada dunia grunge, 90-an dan alternative rock itu sendiri. Tanyalah mat metal, mat rap, mat hip hop, mereka juga kenal lagu ini. Elemen The Pixies itu sendiri (loud,quiet, loud) kuat dalam lagu ini. Sampai ada yang cakap lagu ini ialah ‘Pixies Ripoff’.

2. Come As You Are

Pertama kali aku main gitar lagu Nirvana, inilah lagu yang aku boleh main sampai habis. Riffnya sangat grunge. Sampai sekarang kalau pegang gitar, betulkan tune, lagu ini aku akan jadikan rujukkan. Sekadar berkongsi dan interpretasi, bait lirik dalam lagu ini, “When I swear that I don’t have a gun. No i don’t have a gun“, 3 tahun kemudian, dia membunuh diri dengan menembak di kepalanya sendiri. Seram juga. Seperti beri klu pula.

1. About A Girl

Ini lah lagu Nirvana paling aku minat. Lagu ini mengingatkan aku kepada sisi pop Nirvana terutamanya dalam album Bleach (1989). Mula-mula jatuh cinta bila beli DVD Nirvana MTV Unplugged. Belajar gitar. Impian aku ialah (angan-angan) aku main lagu ini live secara akustik di hadapan orang. Sudah tentu tak kesampaian. haha.

Itulah top 10 lagu Nirvana yang aku minat. Anda pula bagaimana? Adakah anda suka lagu Floyd The Barber? Rape Me? Polly? atau Dive? Yang pasti, aku tak pernah jemu dengan Nirvana.

Ikiru: Kritikan Sosial oleh Akira Kurosawa

81yVROr1dXL._SL1500_.jpg

Lebih kurang dua minggu yang lepas, aku telah menempah 2 filem Akira Kurosawa dari US dalam format blu ray  (The Criterion Collection). Ikiru (1952) dan Seven Samurai (1954).  2 filem ini merupakan antara filem hebat arahan pengarah tersohor dari Jepun itu. Namun, aku lebih tertarik kepada filem Ikiru.

Filem ini mengisahkan tentang Kenji Watanabe, seorang kakitangan kerajaan Jepun yang ketika itu berlatar belakangkan zaman pasca perang dunia kedua. Watanabe hidup dalam keadaan kerja yang sangat birokrasi. Dia bekerja di tempat itu selama 30 tahun. Selepas kehilangan isterinya yang tercinta, dia hanya tinggal satu rumah bersama-sama Anak lelaki dan menantunya. Kehidupan Watanabe tidaklah gembira. Dia selalu diperli dan dikutuk belakang oleh rakan sekerja. Di rumah pula, anak dan menantunya terlalu sibukkan hal duit pencen Watanabe supaya mereka boleh ada harta dan beli rumah lain. Tambah malang lagi, Watanabe disahkan mengidap kanser perut dan ada masa hanya beberapa bulan sahaja lagi untuk hidup. Tiada siapa yang tahu hal tersebut. Akhirnya, Watanabe mengambil keputusan untuk menghabiskan saki baki hidupnya dengan melakukan perkara yang tidak pernah dibuatnya dan produktif dalam membantu orang terutamanya projek membina taman permainan yang dia bersungguh-sungguh berjuang untuk mendapatkan kelulusan sebelum dia mati.

Apa yang aku lihat dalam filem Ikiru ialah kritikan sosial Akira Kurosawa terhadap masyarakat Jepun ketika itu. Gambaran masyarakat Jepun terutamanya kakitangan kerajaan ialah terlalu banyak karenah birokrasi. Bila ada orang ingin mengadu tentang masalah pembentungan di kawasan perumahan mereka, bermacam-macam tempat pekerja mereka hantar. Pergi ke kaunter hal pembentungan, kena pula pergi ke kaunter kesihatan, kemudian ke kaunter perumahan. Akhirnya, orang yang mengadu itu fed up.

Kurosawa juga menekankan isu masyarakat Jepun yang semakin hilang konteks budayanya yang tinggi (High Context Culture) dalam kekeluargaan. Lihat sahaja bagaimana layanan anak Watanabe yang semakin hari semakin hilang hormatnya terhadap bapanya meskipun selama ini bapanya adalah orang yang kuat bekerja untuk kesenangan masa depan anaknya.

Masyarakat Jepun ketika itu juga dilihat terlalu kebaratan. Malam Watanabe berhibur bersama-sama seorang penulis itu menampakkan bagaimana malam masyarakat Jepun ketika itu melambangkan pengaruh barat yang sangat tinggi. Dari kelab malam, sehinggalah kelab Kabaret. Dengan pakaian kot dan bertali leher jelas budaya Jepun semakin malap dalam filem ini.

Masyarakat yang buruk sangka boleh dilihat ketika babak Watanabe bersama-sama rakan sekerjanya, Toyo yang ketika itu datang ke rumahnya untuk meminta tandatangan kelulusan Toyo untuk letak jawatan. Ketika inilah anaknya buruk sangka dengan menuduh ayahnya ada hubungan dengan perempuan muda. Tambah malang lagi, Toyo juga sendiri merasakan yang Watanabe sendiri ada perasaan dengannya. Walhal, Watanabe hanya tertarik dengan Toyo kerana cara dia bergembira dan lari dari segala keresahan.

Masuk ke 3rd act filem ini, Kurosawa terus membawa penonton ke babak dimana semua rakan sekerjanya dan keluarga Watanabe berkumpul untuk memberi penghormatan yang terakhir. Watanabe meninggal dunia. Namun, Setiap rakan sekerja Watanabe mula membincangkan tabiat dan perubahan perangai Watanabe sebelum meninggal dunia. Barulah anak dan rakan sekerja beliau sedar sumbangan beliau yang ramai orang tidak nampak. Bagi anak Watanabe, dia menyesal kerana tidak tahu kondisi ayahnya yang ketika itu sudah tahu yang satu hari nanti dia akan pergi dari dunia. Bagi rakan sekerja pula, mereka baru sedar dengan kesungguhan Watanabe dalam membantu untuk meluluskan projek taman permainan untuk masyarakat. Itulah resam hidup manusia. Yang orang nampak masa hidup ialah 10 keburukkan, bila mati barulah nampak 1001 kebaikkan.

Babak ikonik dalam filem ini ialah babak akhir dimana Watanabe duduk di atas buaian taman permainan yang siap dibina, dengan salji turun dan wajahnya yang gembira, dia menyanyi lagi “Gondola no Uta” (boleh tonton di youtube).

Cantik dan Indah garapan filem ini. Filem yang membuatkan aku terfikir tentang kehidupan dan bagaimana aku perlu hargainya. Ni antara filem yang mampu buat mata aku sedikit bergenang.

Filem ini layak dapat 10/10 dimata aku.

Movie Review: Room (2015)

SPOILER ALERT!!

Entah kenapa filem Room ini tidak masuk ke pawagam Malaysia. Mujur  zaman kini ada alternatif lain yang membolehkan aku menonton filem ini. Filem ini secara keseluruhannya berjaya merangkul satu anugerah Academy baru-baru ini hasil dari lakonan mantap Brie Larson yang membawa pulang anugerah pelakon wanita terbaik.

Filem ini mengesahkan seorang ibu muda, Joy Newsome (Brie Larson) dan anak lelakinya, Jack (Jacob Tremblay) yang baru sahaja masuk umur 5 tahun, tinggal di dalam sebuah bilik yang ada katil, ada tab mandi, tandas, tempat memasak, tv dan sinki. Pada mula filem ini, pasti penonton tertanya-tanya mengapa mereka sanggup tinggal di dalam bilik yang sempit itu.

Kemudiannya, penonton akan diperkenalkan dengan watak Old Nick yang entah dari mana. Ketika ini, penonton pasti tertanya-tanya, mengapa Old Nick ini ada dan Jack terpaksa menyorok di dalam almari. Kemudiannya, barulah penonton tahu bahawa mereka ni dikurung dan Joy Newsome menjadi mangsa rogol Old Nick sehingga terhasilnya Jack. Lebih mudah lagi, Old Nick adalah bapa biologikal Jack. Namun begitu, Jack sebenarnya terlalu terhad pengetahuannya terhadap dunia luar. Dia hanya mengetahui yang Dora The Explorer itu tidak wujud.

Kemudiannya, penonton yang tadi dilamun plot yang perlahan sudah mula merasa naiknya jalan cerita dan ‘tense’ apabila Joy cuba menerangkan kepada Jack bahawa dunia ini sebenarnya luas dan mereka sudah dikurung sejak Jack dalam perut Joy lagi. Di sini konflik dan emosi berlaku dan bagi aku antara babak yang aku rasa sedikit sebak apabila seorang ibu cuba menerangkan kepada anaknya yang mula tidak percaya dengan kata-kata ibunya yang  mereka sebenarnya dikurung di dalam bilik ciptaan Old Nick.

Sebut tentang lakonan, bravo aku berikan kepada Brie Larson dan Jacob Tremblay. WOW. Emosi yang ditonjolkan oleh mereka berdua sangatlah menjadi dari mula sehingga akhir filem. Pada pendapat aku, Jacob Tremblay adalah contoh Oscar snub pada tahun 2015. Lakonan dia mantap walaupun baru umur mentah. Brie Larson sememangnya layak untuk Oscar.

Apa yang aku lihat, filem ini cuba menonjolkan kesan dari mangsa rogol itu sendiri. Penulis novel merangkap lakon layar filem Room, Emma Donoghue cuba mendalami mangsa rogol secara psikologi. Anda boleh lihat betapa tertekannya Joy selepas dia berjaya lari dari bilik tersebut, dia sedar yang dunia diluar tidak indah sebelum dia dikurung. Ayahnya bercerai dengan emaknya, dia mula menjadi tumpuan, Jack pula cuba menyesuaikan diri dengan dunia baru yang luas dari pemikirannya sebelum ini. Mangsa rogol seperti Joy memerlukan sokongan moral yang tinggi. Itu yang Emma Donoghue cuba tonjolkan.

Yang penting, cinta itu sebenarnya tanpa batasan, tiada sempadan. Begitulah kasih sayang Joy dan anak lelakinya yang sebenarnya luas dari bilik tersebut. Betapa Joy sayang kepada anak lelakinya sehingga berusaha untuk bawa Jack keluar dari bilik tersebut untuk hidup yang lebih sempurna.

Tahniah buat filem Room. Salah satu filem kritikan sosial yang bagus dan baik. Untuk pengetahuan, Emma Donoghue mendapat idea menulis novel ini dari kes Josef Fritzel yang merogol anaknya sendiri dan mengurungnya dalam tempoh tahun yang lama sehingga anak perempuannya itu beranak.

Sekali lagi, Bravo dan aku berharap, filem ini menjadi pengajaran buat manusia semua.

9/10

Ada 2 pemenang Oscars dalam gambar ini. Salah satu babak dalam filem Room. Macam tau-tau je. haha