Movie Review: Ola Bola (2016)

Ola Bola merupakan filem arahan Chiu Keng Guan yang semua sedia maklum, beliau pengarah filem terkenal yang pernah mengutip kutipan tertinggi di Malaysia sebelum dipecahkan oleh Polis Evo, The Journey. Filem ini diadaptasi dari kisah benar pada tahun 1980 ketika Malaysia layak ke kejohanan Olimpik di Moscow tetapi Malaysia memboikot kejohanan tersebut kerana solidariti kepada Afghanistan yang diserang oleh Soviet Union.

Filem ini bermula dengan baik, pengenalan watak atau build up character merupakan faktor penting dalam filem ini. Mengapa watak-watak ini begitu mahu bermain bola sepak terutamanya mereka hanyalah pemain amatur yang tidak bergaji. Isu seperti kekeluargaan, sosial, semangat berpasukan, banyak ditekan dalam filem ini.

Diukur dari segi lakonan, sudah tentu banyak pelakon amatur dalam filem ini, namun begitu tidaklah seteruk yang disangka. Lakonan Bront Palare sebagai pengulas yang bernama Rahman sangat menarik perhatian dengan ulasan perlawanan yang penuh selamba dan humor. Lakonan 3 orang budak India, adik kepada Muthu juga sangat mencuit hati.

Banyak babak yang sebenarnya sedikit membuatkan penonton berhabuk matanya. Pasti ramai yang setuju babak di dalam bilik persalinan adalah babak yang sememangnya sangat menyentuh hati dan menaikkan semangat. Ambil sahaja contoh filem Any Given Sunday, ucapan Al Pacino yang penuh semangat. Filem berkonsepkan sukan, wajib ada babak-babak sebegini untuk menaikkan perasaan semangat penonton. Kredit buat pelakon-pelakon filem ini kerana berjaya menghidupkan babak tersebut.

Chiu tahu apa yang perlu dia lakukan untuk memvisualkan zaman 80-an. Babak semua pemain menaiki helikopter tentera dan melihat pemandangan Malaysia dari udara bagi aku, itu adalah babak paling cantik dimata aku. Sangat bermakna dengan nyanyian Inilah Barisan Kita dengan penuh semangat.

Di Malaysia, jarang ada filem yang bercorakkan sukan sebegini. Mungkin bukanlah filem terbaik tempatan, namun Ola Bola menjanjikan sesuatu yang berbeza. Orang yang bukan peminat bola sepak pun boleh memahami filem ini. Bagi aku, filem ini menonjolkan bagaimana sukan bola sepak itu boleh menjadi satu ejen penyatuan kaum yang berbilang di Malaysia. Semoga negara kita banyak menghasilkan filem-filem ada “isi” pada masa akan datang.

7/10

P/s Pastikan anda jangan bangun keluar panggung ketika kredit. Tambahan pula, ada cameo dari ‘orang-orang penting’

Advertisements

(500) Days of Summer: Analisis

https://juicyreviewz.files.wordpress.com/2015/08/500-days-of-summer.jpg?w=348&h=538

Filem ini ditayangkan pada tahun 2009. Filem arahan Marc Webb ini mendapat review yang positif dari pengkritik filem. Joseph Gordon Levitt telah menerima pencalonan Golden Globe untuk pelakon lelaki kategori komedi. (500) Days of Summer secara jujurnya antara filem romantik/komedi yang aku gemar selepas 50 First Date. Berikut adalah analisis (boleh kata analisis) perjalanan jalan cerita dari sudut pandangan Tom Hansen. Sebab dialah protagonis dalam filem ini. Tambahan, filem ini tak menggunakan timeline yang selari. Jadi, analisis ni aku buat yang selari, senang faham.

AWAS. ARTIKEL INI MENGANDUNGI UNSUR SPOILER. YANG BELUM TONTON JANGAN BACA.

Pada awal filem ini, penonton diberitahu bahawa filem ini bukan filem cinta. Terus penonton dibawa kepada pengenalan watak utama. Tom Hansen yang percaya yang satu hari nanti, dia akan berjumpa dengan orang yang dia cinta, gemar mendengar muzik pop British dan sering kali salah erti terhadap filem The Graduate (1967) manakala Summer Finn mempunyai masalah keluarga ketika kecil dan tidak percaya pada cinta. Disini penonton dapat lihat betapa jaraknya perwatakan dua individu ini. Tom Hansen = Pro Cinta, Summer Finn = Anti Cinta. Mereka bertemu di satu syarikat yang mereka kad ucapan. Summer, baru masuk kerja sekaligus membuatkan Tom Hansen mula jatuh cinta.

https://i0.wp.com/www.dvdactive.com/images/reviews/screenshot/2011/2/500daysofsummerbdcap2_original.jpg

Babak di dalam lif adalah babak paling aku suka. Tom Hansen masuk sambil mendengar lagu The Smiths-There Is a Light That Never Goes Out, Summer juga masuk. Summer menegur Tom apabila dia terdengar muzik The Smiths dari headphonenya. Dia berkata kepada Tom yang dia mempunyai selera muzik yang bagus. Ini membuatkan Tom rasa Summer lah wanita yang dia tunggu. Lihat di sini bagaimana Tom terus jatuh cinta. Hanya kerana muzik pop british dan dipuji, dia mula cair. Mereka ada persamaan. Tom dan Summer meminati muzik The Smiths.

2 minggu Tom cuba memancing Summer, cuba berbual, tetapi tidak berhasil. Ada sekali, dia memainkan lagu The Smiths-Please, Please, Please Let Me Get What I Want dalam usaha untuk menarik perhatian Summer. Namun, Summer lalu begitu sahaja. Namun begitu, malam karaoke bersama rakan-rakan pejabat merupakan peluang terbaik Tom. Mereka berbual sambil minum dan ada sedikit perdebatan antara Tom dan Summer. Summer berpendapat bahawa dia tidak perlu ada kekasih dan tidak perlu ada cinta. Dia lebih suka bebas. Ketika ini perhatikan wajah Tom. Ada sedikit kesal. Dalam hati dia sudah mula jatuh cinta dengan Summer. Namun kata-kata Summer itu sedikit sebanyak merubah wajah senyum menjadi senyum terpaksa. Namun begitu, Tom cuba mempertahankan bahawa cinta itu perlu, mungkin dengan harapan yang Summer akan berubah fikiran terhadap definisi cintanya.

Semasa pulang, McKenzie yang mabuk telah berkata kepada Summer bahawa Tom menyukai Summer. Ketika inilah pada pendapat aku, hati Tom dan Summer mula merasai sesuatu. Summer bertanya kepada Tom adakah dia benar-benar suka terhadap Summer. Sudah tentu soalan itu menggembirakan Tom. Tetapi, Summer bertanya adakah dia suka sekadar kawan, tidak lebih? Ketika ini Tom sebenarnya terpaksa cakap YA walaupun sekadar kawan. Sebab itu sahaja peluang dia untuk rapat dengan Summer ketika Summer dengan perinsip cintanya yang bertentangan dengan Tom.

https://lh3.googleusercontent.com/-cOlZV-rsEhA/TWl9cvcHf3I/AAAAAAAACHA/x-KJIHMSVTg/s1600/Screen+shot+2011-02-26+at+22.17.18.png

Keesokkan harinya, Summer dan Tom bertemu dalam bilik cetak. Maka bermulalah babak mereka bercium buat kali pertamanya dalam filem ini. Pada pandangan aku, dari sudut Tom. Dia pelik. Semalam kata Summer, mereka hanya kawan. Tetapi hari ini lagak mereka seperti pasangan kekasih. Bermulalah waktu-waktu gembira mereka. Seperti, bermain di dalam pasaraya IKEA, kononnya mereka pasangan kekasih yang komplen terhadap peralatan dan perabut rumah. Semasa mereka baring di atas katil dalam pasaraya IKEA, Summer menekankan yang dia tidak mahu serius. Tom, walaupun pahit mendengar kata-kata Summer, dia terpaksa akur kerana dalam duniannya sekarang, hanya ada Summer.

Semuanya indah. Tidur pun sama-sama, buat hubungan seks pun sama-sama, tonton filem lucah bersama. Namun segalanya berubah apabila Tom menumbuk seorang lelaki dalam bar yang cuba mengorat Summer. Pada pandangan aku, Tom ingin membuktikan bahawa dia lelaki yang mampu melindungi Summer dalam apa jua keadaan. Namun inilah kesilapan Tom yang paling besar. Summer tidak gemar dan tidak perlukan sebarang perlindungan. Pada pendapat aku, Summer merasakan yang Tom sudah ‘jauh’ dan terlalu serius dalam hubungan ini.  Ketika inilah mereka berperang. Tom mengungkit tentang hubungan yang mereka lalui sekarang. Tom merasakan yang mereka sebenarnya bukan sekadar kawan dan sekurang-kurangnya mereka merupakan pasangan.

Namun begitu, segalanya kembali tenang. Summer datang ke apartmen Tom dan mereka memulakan sesi hati ke hati. Babak ini bagi aku menunjukkan yang Tom sebenarnya tidak tahu sejarah lampau Summer. Dia pernah menjadi biseksual dan mempunyai seorang kekasih dari Itali yang bernama “The Puma”. Selepas itu, hubungan mereka normal.

https://i0.wp.com/41.media.tumblr.com/ca47c900ddbefe29da5da8971c78ada5/tumblr_n6ekunzJxe1rml3nvo1_1280.png

Sehinggalah pada satu hari, mereka pergi menonton wayang. Filem The Graduate, filem klasik lakonan Dustin Hoffman. Ketika penamat filem ini, Summer menangis teresak-esak. Ini menimbulkan rasa hairan Tom yang sememangnya dari mula tadi aku dah bagitahu, dia tak faham penamat filem The Graduate.

https://i2.wp.com/40.media.tumblr.com/50f89520a9eb400fa96ac3a7cb62dfce/tumblr_n6ekunzJxe1rml3nvo2_1280.png

Ok, begini. Ini merupakan apa yang aku faham dari filem The Graduate. Ada 2 watak utama. Ben dan Elaine. Ben pergi ke gereja untuk membawa lari Elaine dan mereka berjaya lari dengan menaiki bas. Ini babak yang penting. Pada mulanya, kamera fokus kepada 2 watak dengan wajah yang gembira. Lama kelamaan, wajah kedua-dua watak ini berubah dan keluarlah lagu Simon & Garfunkel-Sound of Silence. Kenapa? bagi aku 2 watak ini sebenarnya baru tersedar, apa yang mereka buat sekarang bukannya menjamin masa depan mereka yang mereka inginkan. Itu semua satu kesilapan. Ok, tu padangan aku. Summer? bagi aku, dia menangis kerana dia merasakan yang babak itu ada kaitan dengan keadaan dia sekarang. Dia tidak rasa yang dia mampu berpura-pura depan Tom lagi. Akhirnya, dia berkata kepada Tom bahawa mereka perlu berhenti berjumpa namun Summer tetap menganggap Tom sebagai kawan.

Mulalah waktu-waktu kesedihan Tom Hansen. Dia mula tak pergi kerja dan tidak terurus. Hingga bos syarikat tempat kerjanya pun perasan dengan perubahan Tom. Ketika ini, Summer sudah berhenti kerja dan pergi ke tempat lain. Harapan berputik kembali apabila mereka bertemu dalam perjalanan ke majlis perkahwinan rakan pejabat mereka. Ketika ini Tom dan Summer bergembira, menari bersama, minum bersama dan ketika upacara mencampak sejambak bunga, Summer dapat. Dari riak wajah Tom, dia masih mengharap yang Summer kembali kepadanya dan mungkin bunga itu seperti jawapan kepada “takdir” dia dengan Summer.

https://i0.wp.com/www.moustachemagazine.com/wp-content/uploads/2014/02/VD-Expectation-Vs-Reality-.jpg

Summer menjemput Tom ke parti anjurannya. Tom bersetuju. Aku gemar cara Marc Webb menerangkan bagaimana expectation dan reality. Jangkaan Tom ialah malam itu mereka akan berbual bersama, minum bersama, bergembira dan tidur bersama. Namun semuanya hancur apabila Summer tak layan Tom pun. Dia sibuk dengan tetamu. Menambahkan lagi api kemarahan apabila Tom ternampak cincin di jari Summer. Ketika itulah dia sedar yang Summer sudah bertunang dengan lelaki lain. Dia pergi dari situ dan penuh kekecewaan.

Tom sedih dan berhenti kerja. Sebab? Dia menganggap syarikat membuat kad ucapan kata sayang atau apa jenis ucapan itu adalah tidak bermakna. Ia sama seperti lagu dan filem cinta yang kononnya memberi harapan palsu kepada orang yang berharap. Sepatutnya perasaan itu perlu diluahkan, bukan melalui kad. Dia juga sedar yang kepercayaannya terhadap cinta adalah salah. Tom akhirnya letak jawatan.

https://i0.wp.com/data.whicdn.com/images/9557595/original.jpg

Setelah menghadapi hari-hari yang gelap, Tom cuba kembali kepada bidang yang dipelajarinya, Seni Bina. Dia cuba pergi ke syarikat dengan harapan dia akan dapat kerja, namun gagal. Tom kemudiannya pergi ke satu tempat yang dia berjumpa dengan Summer. Kebetulan, Summer juga ada di situ. Mereka pun berbual. Ketika ini, Summer sudah menjadi isteri orang. Ketika ini juga, Tom memberitahu kepada Summer bahawa idea tentang cinta yang dibincangkan ketika mereka mula kenal dulu adalah salah belaka. Namun bagi Summer, tak salah pun apa yang Tom cakap tentang cinta satu ketika dahulu. Masa ini kita dapat lihat perubahan watak Summer terhadap cinta. Dia mula matang dan menerima yang cinta itu muncul dalam perasaan. Summer juga sebenarnya dari awal sudah tidak pasti bahawa Tom lah orang yang bakal berkongsi hidup dengannya. Ya, pedih. Pedih mana pun, Tom tetap rasa gembira dengan Summer yang sedang berbahagia.

https://melissabeatrice.files.wordpress.com/2011/05/tom-met-autumn.jpg?w=840

Penamat filem ini, babak dimana Tom sedang menunggu untuk ditemuduga. Dalam tempat yang sama, ada seorang wanita cantik yang berkata dia pernah nampak Tom di Angelus Plaza, tempat Tom suka lepak. Tetapi Tom tidak pernah pun nampak perempuan tersebut. Ketika itulah Tom perasan bahawa semuanya berlaku secara kebetulan. Tiada nasib atau keajaiban. Dia mengajak perempuan tersebut minum kopi selepas temuduga kerja.  Tamat. Mulalah hari pertama beliau dengan Autumn.

KESIMPULAN

  1. Sebenarnya, dari awal lagi Tom silap. Dia terlalu terbawakan perasaan cinta dia. Dari mula lagi Summer sudah beritahu hint yang hubungan mereka tak akan kemana.
  2. Summer memanglah melebih-lebih dalam hubungan ini, tapi bagi aku juga, Tom perlu sedar yang dia hanyalah kawan yang terlalu rapat tetapi tidak melebihi sempadan rakan dan cinta.
  3. Tom sepatutnya dengar cakap kawan dan adiknya. Adiknya antara orang yang paling awal nasihatkan dia. Hanya kerana minat muzik yang sama, dia terus cair dengan Summer.
  4. Tom tak sepatutnya salahkan syarikat tempat kerjanya. Manusia perlukan muzik, kad ucapan dan filem cinta untuk mewakili perasaan manusia yang kadang kala sukar diterjemahkan sendiri. Sayang Tom keluar dari syarikat itu dan terus sedih. Dia agak bagus dalam mereka ayat-ayat yang motivasi dan cinta.
  5. Tom terlalu syok sendiri dan Summer terlalu memberi harapan. Kalau aku lelaki pun, boleh hilang kewarasan dalam bercinta kalau ada perempuan macam ni.

Apa-apa pun ini hanyalah interpretasi aku terhadap filem ini. Mungkin orang lain ada pendapat yang berbeza. Namun, walau apa jua pendapat pun, ini ialah filem yang bagus. Sejujurnya, ini filem cinta yang bijak dan realistik. Paling penting, filem ini tidak cliche. Percayalah, dalam dunia ini, ramai lelaki senasib dengan Tom. Ingat, ini bukan filem cinta, tetapi cerita tentang cinta.

9/10

Movie Review: Spotlight (2015)

SPOTLIGHT.png

“The Power of Journalism”

Spotlight merupakan filem arahan Tom McCarthy. Sebut pasal Tom McCarthy, beliau adalah pengarah filem The Cobbler. Ya. The Cobbler filem lakonan Adam Sandler. Tetapi, aku fokus kepada Spotlight. Filem ini mengisahkan sekumpulan wartawan  yang bernama Spotlight, dari The Boston Globe. Marty Baron (Liev Schreiber) merupakan editor terbaru The Boston Globe. Beliau menyuruh wartawan dari Spotlight menyiasat kes seorang paderi bernama John Geoghan yang terlibat dengan kes pedofilia (seksual terhadap kanak-kanak). Maka, Spotlight pun mula mengumpul bukti dari fail-fail  kes lama dan menemuramah mangsa-mangsa yang terlibat.

Filem ini berdurasi selama 2 jam lebih. Semasa aku menonton, aku memerlukan fokus yang lebih. Ini kerana, kes yang mereka siasat itu bukanlah kes jenayah kecilan. Ia melibatkan satu institusi agama yang agak kebal di Boston. Setiap watak wartawan, Michael Keaton, Mark Ruffalo, Rachel McAdams dan Brian d’Arcy James mempunyai tugas dan kisah mereka tersendiri. Semakin aku menonton filem ini, semakin “gelap” penyiasatan dan kebenarannya. Bagi aku, filem ini bukan untuk semua. Filem ini perlu dihargai dengan penuh hati-hati dan penuh kefahaman kerana setiap klu yang mereka dapat ketika menyiasat adalah penting.

Sebut tentang lakonan, filem ini membariskan pelakon-pelakon yang bagus. Walter Robinson lakonan Michael Keaton hebat. Retak hebat lakonannya berterusan selepas filem Birdman. Tumpuan sudah tentu terarah kepada 2 pelakon yang menerima pencalonan Oscars, Mark Ruffalo dan Rachel McAdams. Bagi aku, kesemua pelakon dalam filem ini membawakan watak wartawan yang penuh dedikasi dan kesungguhan dengan begitu hebat sekali.

Plot filem ini disusun dengan begitu baik sekali. Semuanya ingin membawa audiens merasai bagaimana wartawan ini mengumpul bukti dan membina semula kes. Bagi aku ianya sangat padat dan menyeronokkan.

Kemungkinan filem ini agak bosan bagi sesetengah orang. Aku tak salahkan, sebab filem ini durasinya panjang. Seperti aku cakap tadi, setiap wartawan yang ditugaskan ada kisahnya tersendiri dan kadang-kala sedikit terkeliru dengan informasi yang mereka dapat. Babak dramatik yang boleh diingat juga sebenarnya kurang. Yang menguatkan filem ini ialah plot dan pelakon-pelakonnya. Aku melihat filem ini seperti filem dokumentari.

Sebagai seorang pelajar Komunikasi yang mempunyai sedikit pengetahuan tentang kewartawanan, aku mendapati filem ini sangat menarik. Membuka minda aku bahawa wartawan bukan hanya sekadar menyampaikan berita-berita umum, tetapi juga membuka mata masyarakat dan menjadi ejen kebenaran kepada masyarakat. Wartawan dalam filem Spotlight adalah contoh wartawan yang berani kerana benar dan tidak takut pada kuasa besar mahupun apa jua halangan. Bagi mereka, orang ramai perlu tahu berita yang telus.

Filem ini menerima 6 pencalonan Academy, termasuklah Filem terbaik dan pengarah terbaik. Tak pasti filem ini akan masuk Malaysia atau tidak. Jika anda berkesempatan dan berkemampuan untuk tonton filem ini, dan gemarkan filem penyiasatan, Spotlight adalah jawapannya.

8/10

spotlight-movie-1.jpg
Ya. Filem ini diadaptasi dari kisah benar. Hasil dari pembongkaran ini, team Spotlight telah menerima anugerah Pulitzer Prize untuk Public Service pada tahun 2003

Movie Review: The Boy (2016)

the-boy-2016-2

The Boy, filem arahan William Brent Bell (The Devil Inside) mengisahkan Greta (Lauren Cohan) yang ditugaskan menjaga sebuah anak patung kepunyaan pasangan di UK, Mr dan Mrs. Heelshire. Pada mulanya, Greta menganggap ianya seperti satu jenaka kerana dia sangka yang dia akan menjaga seorang kanak-kanak. Tetapi bagi pasangan Heelshire, patung itu bukan sekadar patung biasa. Ketika pasangan Heelshire bercuti, barulah Greta sedar yang kata-kata pasangan Heelshire itu benar.

Bagi aku, bulan januari bukanlah bulan yang bagus dalam dunia perfileman. Seolah-olah bulan yang terkena sumpahan. Tetapi The Boy menjanjikan satu keseronokkan yang berbeza berbanding filem seram bulan ini. Mungkin ramai yang kecewa. Aku melihat dari sudut hiburan.

Unsur saspen dalam filem ini bagi aku agak menjadi. Ada babak-babak yang buat penonton tak senang duduk dan terkejut. Dan ianya sangat berjaya. Sentuh bab lakonan, Lauren Cohan dan Rupert Evans berjaya membawa watak dengan agak baik sekali. Jalan cerita, mungkin ada sedikit membosankan. Tetapi berjaya ditutup dengan 2-3 babak yang saspen.

Cliche filem ini bagi aku babak mimpi. Aduh. Kenapa perlu ada babak cliche yang aku rasa banyak digunakan dalam filem-filem seram lain. Filem ni boleh jadi lebih baik dari itu.

Filem ini ada plot twist. Kredit buat produksi filem ini yang berjaya “menipu”. Cuma, bagi aku, plot twist dia terlalu awal. Bagus, ada kelainan cuma, ketika plot twist tu ditonjolkan, bagi aku sendiri, elemen ketakutan itu semakin kurang. Aku takkan cakap kenapa, sebab takut spoil pulak.

Penamat filem ini pulak membawa penonton tertanya-tanya dan bagi aku agak tak masuk akal pun ada. Kenapa? Anda perlu menonton filem ini. Mungkin pemahaman aku agak berbeza dengan kalian.

Plot twist terbaik bagi aku, The Sixth Sense (1999) arahan M Night Shyamalan. Dengan lakonan hebat Bruce Willis dan Haley Joel Osman, jalan cerita yang bagus, plot twist dia betul-betul diakhir filem dan membuatkan penonton cakap, “laaaaaaaaaaaa”, kejutan, erti kata lain. The Boy cuba sebegitu, tetapi tidak berapa kena.

Filem ini sejujurnya, menghiburkan, tetapi tidaklah gempak seperti mana kawan-kawan aku yang sudah menonton, katanya: “wooahhhh ending filem ni terbaik oooo”.

Tidak. Yang pasti lebih baik dari filem patung seperti Anabelle.

6/10

The-boy-trailer
Lupa nak kenalkan. Ini Brahms Heelshire

Pendidikan: Salahkan Siapa?

2 hari yang lepas ada seorang budak di akaun twitternya yang membidas pelajar yang mengharapkan biasiswa dan paling hebat, dia menyalahkan ibu bapa pelajar sebab miskin.
Bagi aku, kenyataan sebegini amatlah tidak masuk akal. Benar, ada ibu bapa yang tidak berpelajaran tinggi dan tidak mempedulikan kualiti pendidikan anaknya. Bukan semua.

Ada ibu bapa yang sanggup membelanja wang supaya anaknya belajar tinggi meskipun dia tidaklah berpendidikan tinggi dan kerja gaji yang lumayan. Namun begitu, ibu bapa sebegini ada mentaliti yang berbeza. Dia tak nak anak dia susah pada masa akan datang.

Ibu bapanya miskin, itu lumrah kehidupan. Mungkin waktu sekolahnya dulu, dia tidak dapat menyambung pelajaran kerana faktor wang dan keluarga. Kena ingat, ini zama pasca merdeka, awal merdeka. Mentaliti masyarakat sudah tentu berbeza.

Tentu dia mahu anaknya berjaya supaya dia juga boleh menumpang kejayaan tersebut. Aku selalu berpesan pada diri, pendidikan mampu mengubah hidup. Aku juga datang dari keluarga yang susah, namun aku tekad untuk membaiki taraf hidup aku dengan pendidikan.

Jadi golongan seperti kami juga berfikiran realistik. Pendidikan tinggi Malaysia bukanlah murah. Dengan biasiswalah orang yang miskin, bapanya sedang bertarung nyawa di laut dan di sawah atau sekadar bekerja cukup makan,  perlukan wang untuk membayar yuran dan belanja hidup.

Aku tak pasti sama ada budak tu troll atau apa, namun aku rasa tak patut dia bagi kenyataan sebegitu. Kalau rasa diri tu senang sangat sekarang, ingatlah. Senang ni bukannya kekal lama. Kalau Allah nak tarik kejap sahaja.

Sejauh Manakah Anda Boleh “Move On”?

Semua manusia pasti merasai apa itu cinta. Kalau tidak berakad pun, jatuh cinta pasti ada. Itu Lumrah manusia. Jika seseorang manusia itu mula jatuh cinta, dia membawa kepada 2 jalan. Satu, jalan kebahagiaan. Dua, jalan kekecewaan. Aku ingin sentuh bab kekecewaan.

Bukan semua cinta itu berjaya. Tidak. Yang tak berjaya ini sebenarnya mengalami satu frasa kekecewaan yang boleh bawa ke satu jangka masa yang panjang. Ini juga boleh membawa kepada tekanan perasaan, gangguan emosi dan paling teruk, bunuh diri.

Orang disekeliling pasti akan berkata sebegini, “move on lah, orang tu dah bahagia dengan orang lain”. Aku setuju. Move on itu adalah cara terbaik. Terimalah hakikat yang kau tiada jodoh dengannya. Sejauh manakah dia boleh move on? Terpulang kepada individu. Ada sesetengah individu, dah kena tipu dengan kekasih pun masih tak boleh move on. Dia akan terhegeh-hegeh kembali kepada bekas kekasihnya atau merayu memujuk supaya menerimanya.

Ada pula, dia sering bermadah, mencari idea, berkarya sebagai escapism nya untuk cuba melupakan bekas kekasihnya, tapi modal karya, kisah cinta lamanya. Seperti Zainuddin dalam novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck karya Hamka.

Mengapa begini? Aku juga pernah mengalami perkara ini dan juga sehingga sekarang, masih ada. Satu tahap, kau mula terkenang saat-saat kau kenal dengan orang yang kau suka tu, waktu gembira sampailah waktu kau kecewa. Ada satu tahap teruk, kau akan menangis meratap. Sampai tahap terakhir, kau akan bosan. Serius. Kau macam, “ah, sudah-sudahlah, bukannya si dia tu tau aku menderita. Dia tengah sedap bahagia dengan orang baru”

Adakah kau terus lupa? Kau ‘cuba’ untuk lupa. Macam aku, aku mula mengumpul blu ray, mengumpul komik, membeli konsol sony ps4 (Sampai sekarang jadi hobi aku). Semua semata-mata nak lupakan orang yang pernah aku suka. Kembali kepada point aku, escapism. Aku terpaksa menipu diri sendiri untuk move on. Satu tahap, aku pergi tengok dia punya facebook, instagram, twitter dan segala info dan berita terkini. Kalau nasib baik, kau tak kena block. Dalam kes aku, kena block. Jadi, terhad lah maklumatnya.

Akhirnya, aku mengaku kalah. Doa yang terbaik sahajalah. Buat apa nak simpan perasaan dendam marah dengki sedih ni. Sejauh mana aku move on? Aku pun tak pasti. Kadang-kadang buat aku teringat. Yang penting, aku hanya doakan dia bahagia kalau itu yang boleh buat dia gembira. Bunyi macam loser ayat tu. Aku dah 26 tahun. Aku perlu matang dalam hal ini.

Sejauh manakah manusia lain move on? Percayalah, manusia takkan boleh move on 100%. Jika bekas kekasih kau masa sekolah menengah kahwin pun kau akan teringat kisah lama, kau akan rasa macam “ala, dah kahwin dah rumanya ex aku ni”, “kalau jodoh panjang ni, memang aku lah jadi suami/isteri dia”. Bagi aku, ini adalah normaliti manusia. Di sudut rak ingatan otak kau, mesti ada teringat.

Terpulanglah pada anda yang lain, macam mana nak move on. Hargailah hidup ini. Perjalanan masih panjang.

Cinta, Lama-Lama Jadi Busuk

Semalam aku ada perasan satu ‘drama’ twitter. Mengikut pemahaman aku, si lelaki ini curang dengan perempuan lain ketika isterinya sendang sarat mengandung. Si Isteri mengamuk kat twitter, dan menceritakan keburukan suaminya sehingga satu timeline twitter tau. Maka, ramailah yang membaca tweet tersebut.

Aku pun tak berapa baca secara details. Tapi, ini adalah pendapat aku.

Suami. Dia memang salah. Secara moralnya, dia curang. Semasa isteri kau mengandung, sokongan moral sangat penting bagi dia. Si suami perlulah bersikap tanggungjawab. Bukannya mengambil kesempatan terhadap kondisi isteri kau.

Isteri. Pun ada salah. Kenapa perlu cerita kat twitter? Faham, bila kemarahan kau sampai satu tahap maksima, maka kau perlu tempat untuk berkongsi masalah. Tapi kau pilih media sosial. Tak bagus. Maruah suami kau, aib dia walaupun dia buat salah, tak patut orang lain tau. Kalau tak boleh sangat dah tahan, pergi kaunseling atau pejabat agama. Selesaikan cara matang. Pada masa yang sama, aku kesian dengan si isteri ni.

Itulah yang tidak bagusnya tentang laman sosial ni. Waktu aku sedang dilamun cinta zaman sekolah menengah dulu, myspace jadi tempat aku meluahkan rasa sayang dan cinta monyet aku. Bila aku beralih ke zaman facebook, aku akan cerita kat facebook. Lama-lama, aku rasa benda ni salah. Sebab?

Sebab utama ialah orang lain yang memandang geli. Bukannya aku seorang sahaja yang bercinta di dunia ini. Panggilan “sayang” atau “baby” dekat komen bukanlah satu tindakan yang matang. Masa ini, aku lihat ada lagi orang yang sebaya aku masih berbalas komen dekat facebook atau twitter. “Fatimah, awaklah yang saya sayang sekali. I love you”

Apa tujuannya? Adakah anda hendak merangkul anugerah pasangan paling sweet? atau anda hendak buktikan andalah Romeo & Juliet dan Bonnie & Clyde versi sosial media? Bila putus cinta, maka keluarlah kata caci maki, memburukkan sesama sendiri. Sedangkan masa bercinta, kentut pun bau Eau de toilette, nafas bau Eau de Parfum.

Kembali kepada kisah twitter tadi, sayang sekali. Yang tukang komen dan RT ada yang menyokong seperti penyokong dalam perlawanan sukan tempur. Simpati aku kat pasangan ni. Dua-dua ada khilafnya. Aku harap mereka selesaikan dengan cara yang matang.

Benarlah kata orang, berkahwin ini bukan satu benda main-main, bukan pelepas nafsu. Tetapi komitmen untuk jangka masa yang panjang, perkongsian hidup.

Bagi aku, cinta tu lama-lama boleh jadi busuk kalau tak disemai. Wangi cinta tu kan sepatutnya dinikmati bersama. Ada masa, orang lain tak perlu bau sikit pun wanginya cinta anda tu.