Movie Review: Deadpool (2016)

Filem yang menjadi filem box office meletup pada awal tahun 2016, jatuh kepada Deadpool. Filem ini sememangnya menang dari segi pemasaran terutamanya di internet. Dari awal lagi iklan dan trailer yang meyakinkan peminat dengan poster filem versi romantik membuatkan penonton ingin tahu tentang watak Deadpool meskipun watak ini pernah muncul dalam filem X-Men Origins: Wolverine (2009).

Deadpool lakonan Ryan Reynolds mengisahkan seorang lelaki yang tidak gemar digelar wirawan. Segalanya nampak indah apabila dia kenal dengan seorang perempuan di kelab malam, Vanessa Carlysle (Morena Baccarin). Dari situ hidupnya mula indah dengan kekasihnya yang tercinta. Namun, semua berubah apabila Wade Wilson (Deadpool) disahkan mengidap terminal cancer. Dia bertemu dengan Ajax (Ed Skerin) yang kononnya dapat mengubat penyakit kansernya. Dari situlah bermulanya watak Deadpool yang penuh dengan dendam.

Ramai penonton menyangkakan filem ini seperti filem superhero yang lain. Tidak. Jika dibaca dari komen-komen mereka yang mengikuti komik Deadpool dan X-Men, Deadpool ialah watak anti-hero yang penuh humor. Dalam filem ini, tujuannya satu, untuk membalas dendam terhadap Ajax kerana menghancurkan mukannya sehingga dia segan untuk bertemu dengan Vanessa gara-gara mukannya yang cacat. Dari segi humor, mungkin ramai yang kurang selesa dengan jenaka lucah Deadpool/Wade Wilson. Bagi aku, filem ini sudah beri hint bahawa filem ini mengandungi humor lucah dari awal lagi, dari poster sehinggalah trailer.

Sebut tentang jalan cerita, banyak flashback yang bagi aku tidaklah memeningkan pun. Semuanya untuk memberi pengenalan kepada Wade Wilson/Deadpool. Jalan cerita itu kemudiannya diselang selikan dengan aksi yang padat dan menarik. Filem ini juga mengandungi babak Break the 4th wall yang menjadi modal utama. Bila babak dia bercakap dengan audiens, ia melengkapkan lagi watak Deadpool yang sedia humor. Dialog filem ini penuh dengan sarkastik dan jenaka. Mungkin ada sesetengah penonton tidak dapat tangkap apa yang dia cuba sampaikan.

Bagi orang yang sensitif, filem Deadpool bukanlah filem yang sesuai untuk anda. Sebab itu filem ini 18 tahun keatas. Kredit buat mereka yang menapis filem ini. Mungkin ada sesetengah babak yang mereka terpaksa zoom in zoom out untuk tidak menampakkan konteks ‘nudity’ dan dialog yang selamba didengarkan.

Sebuah filem anti hero yang seronok ditonton berulang kali. Untuk filem sulung arahannya, Tim Miller boleh menarik nafas lega dengan prestasi filem pertamanya ini.

9/10

Movie Review: Kurt Cobain: Montage of Heck

Kurt Cobain merupakan bekas vokalis dan pemain gitar kumpulan tersohor pada awal 90-an, Nirvana. Dia meninggal dunia ketika umurnya 27 tahun. Kurt membunuh dirinya sendiri dengan menembak kepalanya menggunakan shotgun. Doukumentari Montage of Heck ini merupakan kisah visual hidupnya dari dia kecil sehinggalah hujung hayat.

Dokumentari arahan Brett Morgen ini merupakan hasil kolaborasi beliau bersama balu Kurt Cobain sendiri, Courtney Love sejak dari tahun 2007. Beruntungnya Brett, ahli keluarga Kurt sanggup berkongsi segala hasil seni, nota, rakaman video Super 8 dan suara untuk dijadikan satu jalan cerita. Ramai orang yang terlibat dengan temuramah dokumentari ini antaranya ialah Krist Novoselic (Pemain bass Nirvana, kawan Kurt), Wendy O’Connor (Emak Kurt), Dom Cobain (Ayah Kurt), Tracy Marander (bekas kekasih Kurt) dan juga Courtney sendiri.

Apa yang aku dapat simpulkan melalui dokumentari ini ialah, Kurt pada mulanya merupakan seorang kanak-kanak yang dahagakan kasih sayang dan perhatian. Malang bermula apabila dia seperti tidak dipedulikan oleh ayahnya, kemudian ibu bapanya bercerai. Kemudiannya dia bermula dengan marijuana, kemudian dapat tahu yang dia mempunyai satu penyakit dari perut dan terus mencuba heroin. Namun begitu dia agak serius dengan perjalanan muzik kumpulannya meskipun gagal beberapa kali. Kareer muzik dia begitu meletup apabila mereka selesai merakam album Nevermind. Dari situlah bermulanya hidup Kurt yang sangat popular sehingga dia rimas dan tidak gembira dengan title “rockstar”. Percintaan dia dengan Courtney bagi aku sangat mengejutkan apabila Courtney sendiri mengaku yang dia mengambil dadah ketika dia sedang mengandung.

Paling menarik apabila dokumentari ini memasukkan rakaman suara Kurt tentang bagaimana hidupnya semasa sekolah disertakan dengan animasi oleh Stefan Nadelman dan Hisko Hulsing. Ini melancarkan dan memberi visual yang lebih jelas bagaimana hidup Kurt itu sendiri. Rakaman demo lagu seperti About a Girl dan Been a Son turut boleh didengar dalam filem ini. Selain itu, sedikit rakaman gig besar seperti Reading Festival 1992 turut diselitkan.

Cuma dokumentari ini durasinya panjang dan disertakan dengan grafik atau lukisan yang sedikit disturbing. Mungkin menceritakan perasaan dan kekecewaan Kurt Cobain.

Dokumentari ini tamat dengan lagu Where Did You Sleep Last Night, lagu yang dimainkan oleh Nirvana dalam album MTV Unplugged In New York. Satu penutup kepada visual hidup Kurt Cobain yang penuh turun, naik dan turun.

Secara peribadi, ini merupakan dokumentari yang mungkin agak berat dan gelap bagi watak Kurt Cobain itu sendiri. Sebenarnya dia cuba untuk menjadi yang terbaik sekurang-kurangnya lebih baik dari ayahnyya.  Namun begitu, usahanya dalam bidang muzik, seni dan kesungguhannya menunjukkan yang beliau seorang manusia yang dikurniakan akal yang bijak dan berbakat dalam bidang tersebut.

Selamat hari jadi, Kurt.

8/10

Movie Review: The Silence of the Lambs (1991)

Sempena hari valentine, aku telah menonton satu filem yang pernah ditayangkan pada hari valentine, 1991. The Silence of the Lambs. Sedikit info, filem ini merangkul 5 anugerah Academy yang ke-64. Inilah satu-satunya filem horror yang berjaya memenangi anugerah filem terbaik dalam sejarah Oscars, manakala pelakon utamanya, Anthony Hopkins dan Jodie Foster merangkul anugerah pelakon terbaik.

Ianya bermula apabila Clarice Starling (Jodie Foster) yang sedang dalam latihan Akademi FBI telah ditugaskan untuk menemuramah seorang pembunuh bersiri, kanibal dan bekas pakar psikatri yang ditahan di hospital gila, Dr Hannibal Lecter (Anthony Hopkins)  dengan harapan mereka dapat mencari klu dan pembunuh bersiri yang digelar ‘Buffalo Bill’.

Filem ini menariknya bagi aku ialah 2 karekter. Dr Hannibal Lecter dan Clarice Starling. Mereka berdua mempunyai tujuan mereka yang tersendiri. Lalu mereka berdua mula bekerja sama. Hannibal pula, meskipun ramai orang pernah menemuramahnya tetapi dia tidak memberikan kerjasama. Berbeza bila dia bertemu dengan Starling. Dalam masa yang sama, dia seolah-olah menjadi pakar psikarti kepada Starling itu sendiri. Penonton akan dibawa kepada kenangan pahit Starling mengapa dia ingin menjadi polis/FBI. Eksplorasi jiwa Starling ini berlaku kerana Hannibal Lecter itu sendiri walaupun dia sebenarnya boleh sahaja nak bagitau siapa nama betul Buffalo Bill.

Jalan cerita The Silence of the Lambs seperti puzzle. Satu demi satu penonton diasyikkan dengan klu dan tindakan seterusnya. Meskipun sebenarnya Starling hanya satu langkah untuk berjumpa dengan Buffalo Bill. Keseluruhan jalan cerita bagi aku, kemas. Terutamanya ketika kemuncak atau 3rd act. Bagus.

Bagi aku, isu seksis agak kuat ditekankan dalam filem ini. Aku tak boleh cerita lebih. Namun paling jelas, watak Starling itu sendiri. Dia seorang ejen FBI dari golongan wanita. Ketika dia sampai ke tempat kejadian atau menyiasat mayat, ramai sheriff dari golongan lelaki hanya memandangnya seperti tidak percaya hanya kerana dia seorang wanita.

Inilah contoh filem horor yang bagus dengan pelakon yang hebat. Filem ini telah menerima kritikan positif dan telah disenarakan oleh laman web imbd.com sebagai top 250 filem dalam laman webnya. Anehnya, filem ini ditayangkan pada hari valentine tahun 1991.

9/10

Petikan dialog dari filem ini yang sangat memorable:

“A census taker once tried to test me. I ate his liver with some fava beans and a nice chianti.”

Movie Review: The Look of Silence (2014)

https://i2.wp.com/thefilmstage.com/wp-content/uploads/2014/08/the_look_of_silence_1.png

The Look of Silence merupakan buah tangan terbaru pengarah kontroversi, Joshua Oppenheimer yang sebelum ini mengarah filem dokumentari yang bertajuk, The Act of Killing (2012). Sama seperti The Act of Killing, The Look of Silence berlatar belakang kan masyarakat Indonesia yang terlibat dengan Pembantaian di Indonesia pada tahun 1965-1966.

Jika The Act of Killing memfokuskan hal pembunuh yang membunuh mereka yang didakwa Parti Komunis Indonesia (PKI), The Look of Silence pula memfokuskan kepada keluarga mangsa. Filem dokumentari ini bermula dengan Adi, yang lahir 2 tahun selepas pembantaian itu berlaku, dia menonton satu rakaman video dimana 2 orang lelaki dengan bangga menceritakan bagaimana dia membunuh seorang lelaki yang didakwa ahli PKI, Ramli. Ramli merupakan abang kepada Adi. Bermula dari situlah perjalanan Adi mencari pembunuh abangnya dan kebenaran yang semangnya pahit untuk diterima.

Satu perkara yang aku suka dengan filem dokumentari ini ialah bagaimana penonton merasa ‘disturbing’ nya apabila menonton. Seperti filem sebelumnya, filem ini juga tiada aksi-aksi jijik atau pertumpahan darah, cuma penceritaan oleh mereka yang membunuh dengan penuh rasa bangga sudah cukup meloyakan tekak mereka yang menonton.

Babak-babak yang melibatkan kekeluargaan seperti Adi dan anak perempuannya sedikit meredakan namun membuatkan aku berfikir apakah akan terjadi jika anak kecil itu menerima nasib yang sama seperti pakciknya. Filem dokumentari ini bagi aku menimbulkan rasa insaf dan perikemanusiaan.

Jika anda pernah menonton The Act of Killing, wajib juga menonton The Look of Silence sebagai pelengkap kepada sejarah gelap Indonesia ini. Mungkin kita tidak tahu kebenaran jika kita baca melalui Internet, bukan dari mulut mereka yang terlibat. Dokumentari ini adalah jawapannya.

The Look of Silence menerima pencalonan untuk Anugerah Academy tahun ini dalam kategori Filem Dokumentari terbaik. Jika anda ingin menonton 2 filem dokumentari ini, anda boleh tonton di youtube. Search sahaja “Jagal” dan “Senyap”

8/10