Movie Review: Eye in the Sky (2016)

Secara peribadi, aku banyak terlepas waktu lapang untuk menonton filem-filem baru di panggung wayang kerana sibuk dengan kelas. Maka, hari ini aku tinggalkan perasaan membuak untuk menonton Captain America: Civil War untuk menonton filem-filem yang aku khuatir nanti sudah habis tayangannya.

Gavin Hood (X-Men Origins:Wolverine) telah diberi kepercayaan untuk mengarah filem thriller dari British, Eye In The Sky. Filem ini dibarisi oleh pelakon-pelakon mantap seperti Helen Mirren, Alan Rickman, Aaron Paul dan Barkhad Abdi. Secara ringkasnya, Eye in the Sky mengisahkan tentang operasi yang disertai oleh tentera British dan tentera Amerika Syarikat yang mengawal drone. Di sinilah watak Aaron Paul sebagai Lt. Steve Watts berfungsi sebagai pemandu drone. Helen Mirren memegang watak Colonel Powell, seorang Pegawai tentera yang berpengkalan di UK. Misi mereka pada mulanya adalah untuk menangkap seorang warga UK yang disyaki terlibat dalam siri pengemboman berani mati. Namun begitu, mereka terperangkap dengan konflik dalaman tentera, etika dan politik. Disitulah bermulanya konflik yang membina jalan cerita filem ini dari mula sehingga akhir.

Antara filem terakhir Alan Rickman. RIP

Filem ini merupakan filem perang yang agak tegang, diadun dengan suspen. Meskipun tiada babak tembak memembak (hanya ada 10% sahaja), filem ini pandai bermain dengan emosi penonton. Selain itu, filem ini membawa kepada penonton pembinaan karekter setiap watak yang berbeza-beza. Ada yang mempunyai sifat kemanusiaan, ada pula yang berorientasikan perang semata-mata. Konflik secara politik juga jelas ditonjolkan terutamanya apabila sebelum operasi dijalankan, rujukan dari orang atasan politik seperti dari Perdana Menteri UK dan White House perlu dirujuk. Walhal, mereka yang mengawal drones di Las Vegas, Nevada menunggu sahaja arahan mereka yang berada di UK.

Jika anda menonton filem ini, anda akan berkenalan dengan watak seorang kanak-kanak Kenya yang bernama Alia. Alia inilah yang akan menjadi kunci kepada perjalanan plot filem ini dan telah membuatkan dilema diantara watak-watak yang terlibat dan menyebabkan moral mereka dicabar. Antara perang atau kemanusiaan.

Penamat kepada filem ini membuatkan penonton sedikit emosi. Disinilah penonton boleh mengungkap bahawa, perang ini tiada siapa yang menang. Meskipun secara politiknya, mereka sedang bertarung dalam perang propaganda.

Bravo buat filem ini. 90 minit yang berbaloi (di Malaysia, aku perasan jalan cerita filem ni banyak kena potong, asalnya 102 minit), namun mampu memberikan kepuasan menonton dan perasaan suspen itu berjaya di maksimumkan semasa menonton. Jika anda seorang peminat filem yang gemarkan filem berkaitan politik antarabangsa, filem ini sesuai untuk anda.

9/10

Berbual Dengan 3 Orang Pemandu Uber

IMG_0713.0.0.jpg

Setakat ini, aku pernah menggunakan perkhidmatan Uber sebanyak 4 kali. Malangnya, pertama kali aku guna, aku tak bertanya pun. Aku diam, dia pun diam. Sebab lain pula adalah aku sibuk reply email melalui telefon bimbit pintar aku. Memandangkan esoknya aku ada urusan yang banyak, maka aku buat sedikit kajian sosial dan perasaan mereka yang memandu Uber. Semua nama lokasi dan nama pemandu aku tidak dedahkan atas sebab-sebab yang tertentu.

Perjalanan Pertama: Dari tempat kerja ke rumah

Aku perlu pulang ke rumah kerana benda yang aku dah taip di Microsoft Word tertinggal dalam PC di rumah aku. Jadi aku perlu bergegas. Selalunya aku akan naik teksi, teksi akan berhenti jauh sedikit dari rumah aku sebab meter akan tunjuk aku akan dicaj sebanyak RM 7. Jadi, aku cubalah naik Uber. Dapat. Dia terus call aku. Nasib aku baik, dia tidaklah jauh dari lokasi tempat aku menunggu. Myvi. Aku naik, duduk depan. Aku pun berbual lah dengan dia.

Katanya, dia sudah menjadi pemandu Uber dekat 3 bulan. Memandu Uber merupakan pekerjaan tetapnya sekarang. Dalam seminggu, pendapatannya boleh mencecah RM 1000. Namun begitu, keretanya adalah kereta sewa. Jadi, dia terpaksa membayar kereta sewa, tolak semua dapatlah dalam RM 500. Nasihat dia kepada aku ialah, jika aku ingin menjadi pemandu Uber, gunalah kereta sendiri.

Bila aku tanya jika pihak berkuasa menyuruh semua pemandu Uber memiliki lesen PSV (Lesen Memandu Awam), dia kurang bersetuju sebab bagi dia, Uber adalah konsep kereta tumpang. Sebab itu dia lebih murah dan santai. Kalau macam tu katanya, lebih baik dia bawa teksi.

Menariknya, dia hantar sampai depan rumah aku. Wow.

2.26 KM = RM 2.70

Perjalanan Kedua: Dari Rumah ke Stesen LRT

Dari rumah aku, aku perlu ke Stesen LRT. Kali ini aku dapat seorang lelaki, warga emas. Dia bawa kereta Toyota Vios. Aku naik dan mula bertanya. Dia mempunyai jawapan yang berbeza. Dia faham kenapa pemandu teksi marah dengan Uber. Katanya, Uber memberi perkhidmatan dengan harga yang murah. Dia berpendapat lebih baik harga teksi dan Uber diselaraskan supaya ada situasi ‘win-win’ antara dua pihak. Aku melihat pemandu Uber yang kedua ni lebih bersifat aman dan faham dengan situasi pemandu teksi. Aku pun setuju dengan pendapat dia. Namun itu terpulang kepada pihak berkuasa.

Dia pun menjadikan pekerjaan pemandu Uber ini sebagai pekerjaan sepenuh masa. Katanya, dia pernah memohon kerja di sebuah kedai. Namun, kedai itu menolak pemohonannya kerana dia sudah tua. Namun begitu, baginya, tiada duit apa nak makan? Maka dia melihat Uber sebagai pekerjaan yang mampu menyara kehidupannya. Dia juga mempunyai pemikiran yang positif dan pandang jauh. Dia melihat, teknologi dan aplikasi moden seperti Uber ini memudahkan manusia pada masa akan datang dan dia berharap semua kenderaan awam mengoptimumkan penggunaan dan kemajuan aplikasi ini.

0.62 KM = RM 2.66

Perjalanan Ketiga: Dari Stesen LRT ke Tempat Kerja

Yang ketiga ini berbeza. Dia suruh aku jalan jauh sikit dari tempat yang aku letak pin. Katanya, dia takut dengan jika-jika ada yang menyerang dia. Wah. Takpa. Aku pun jalan sikit. Kali ini aku dapat Proton Persona. Dengan dia aku kurang sikit bercakap. Tapi, katanya dia sudah menjadi pemandu Uber dekat  bulan dan ini sebagai pekerjaan Separuh Masa. Cuma dia berjaga-jaga bila memandu. Jarak dari Stesen LRT ke tempat kerja pun dekat sangat, tak banyak benda aku boleh berbual dan dia pun jenis jawab sepatah. Tapi dia ada bagitahu yang dia enjoy dengan pekerjaan ini. Yang penting, dia hantar sampai depan pintu tempat kerja.

1.16 KM = RM 2.81

Kesimpulan

Aku melihat Uber ini sebagai satu persaingan. Cuma ia perlulah bersaing dalam keadaan sihat. Seperti pemandu kedua tu cakap. Yang penting, zaman moden ini kita perlu bergerak ke hadapan dengan menggunakan kelebihan aplikasi yang sebenarnya sudah memudahkan kita, tidak kira apa jenis kenderaan awam pun.

Movie Review: 10 Cloverfield Lane (2016)

Jika anda pernah menonton filem Cloverfield, sudah tentu dalam kepala anda sudah terbayang raksasa besar, genre filem footage, kamera bergoyang dan bikin penonton pening. Tetapi, filem ini tak sebenarnya. Aku sebenarnya tidak menonton trailer filem ini. 10 Cloverfield Lane bijak dalam memainkan minda penonton. Perlu diingat, filem ini bukanlah filem sequel kepada Cloverfield, tetapi dibawah francais Cloverfield naungan J.J Abrams.

Kisahnya bermula dengan watak Michelle (Mary Elizabeth Winstead) yang berada didalam satu bunker selepas dia diselamatkan oleh Howard (John Goodman). Michelle dan Emmett (John Gallagher Jr) berada di dalam bunker tersebut. Howard tidak membenarkan mereka berdua keluar dari situ kerana dikhuatiri udara di bumi sudah tercemar.

Disinilah minda penonton dan juga Michelle dicabar oleh lakonan John Goodman. Sudah tentu aku takkan spoilerkan anda yang belum pernah menonton filem ini. Apa yang aku boleh katakan tentang filem ini ialah, satu filem psychological thriller yang agak berjaya. Filem ini boleh dikatakan agak minimalis, tetapi pengarah dan penulis skrip filem ini pandai menjadikan setiap babak-babak dalam filem ini seronok untuk ditonton dan dihayati.

Dari segi lakonan, wow. Watak Howard lakonan John Goodman sangat berjaya. Perwatakan dia yang paranoid dan seorang yang obses dengan pasca apokalips sangat menakjubkan. Babak lakonan semasa mereka makan malam antara babak yang buat penonton terkejut. Mary Elizabeth Winstead juga mantap dalam filem ini. Watak Michelle merupaka watak perempuan yang bijak dan berani. Dia tidak takut menanggung risiko.

Filem ini aku yakin akan membuatkan penonton terfikir adakah apa yang Michelle buat itu rasional atau tak? Siapa yang benar dalam filem ini? Siapa yang salah? Adakah mereka bermimpi atau sekadar paranoid? Aku syorkan anda semua tonton 10 Cloverfield Lane. Tetapi janganlah harapkan filem ini filem aksi yang padat kerana ini adalah filem ‘menjerat’ minda penonton. Kredit buat J.J. Abrams dan pengarah, Dan Trachtenberg untuk filem thriller yang hebat ini.

Semoga ada sambungan dari filem ini. Perlu.

8/10

Spoiler untuk filem ini: Bradley Cooper pun ‘ada’ dalam 10 Cloverfield Lane.

Hari Ini Aku Menulis Kerana Steve Albini

Jika anda gemar mendengar muzik punk dari Amerika Syarikat, sudah tentu anda mengenal Steve Albini, seorang pemuzik, penerbit dan jurutera muzik yang bertapak di Chicago. Albini juga dikenali kerana menerbitkan album-album dari kumpulan rock yang terkenal seperti Nirvana-In Utero, Pixies-Suffer Rossa, Manic Street Preachers-Journal for Plague Lovers dan Bush-Razorblade Suitcase.

Diawal kareernya, Albini mempunyai kumpulan rock yang membawakan muzik post hardcore dan noise rock yang dipanggil, Shellac. Semasa menonton dokumentari mini dari Foo Fighters, Sonic Highways, ada satu temu duga dari MTV.Steve Albini memberikan pendapatnya tentang muzik yang mereka bawa. Untuk lebih faham, anda boleh dengar di youtube. Bagi Albini, dia lebih gemar membuat muzik bukan kepada orang ramai. Dia buat muzik kepada siapa yang sudi sahaja dan sudah tentu akan ada pendengarnya.

Tambah pula, Albini tidak mengharapkan sebarang royalti apabila dia menerbitkan album kumpulan tersebut. Inilah yang berlaku apabila album Nirvana-In Utero terjual sebanyak 5 juta keping di Amerika Syarikat sahaja. Albini hanya caj guna studio dia. Itu sahaja. Dia memang seorang yang sangat gemarkan muzik punk dan bising. Dari situ kita nampak bagaimana dia menghargai muzik itu tanpa mengharapkan jutaan wang. Apa yang dia buat hanyalah satu cinta terhadap apa yang dia gemar.

Sikap Albini ini telah menyebabkan aku menulis perkara ini. Aku mengambil sikap Steve Albini untuk dijadikan contoh.

Aku sudah menceburi bidang menaip di blog ini secara tidak rasmi pada tahun 2008. Ketika itu aku gunakan blogger sebagai platform untuk aku meluahkan perasaan. Sebelum itu, waktu aku tingkatan 2 sehingga 4, aku gemar menulis di dalam buku yang aku beli. Boleh dikatakan sebagai diari. Aku ingat lagi macam mana aku tulis tentang kesusahan orang kidal seperti aku untuk belajar gitar sebab ramai kawan paksa aku main gitar tangan kanan, aku tulis betapa besarnya album Green Day-American Idiot dalam menghiburkan kepala aku ketika aku tingkatan 3 dan macam-macam lagi. Lepas aku pindah rumah, aku lupuskan buku tu. Silap.

Masuk 2008, aku tingkatan 6. Ketika itulah aku mula berjinak dengan blog. Bezanya, blog ini lebih awam, semua orang boleh baca apa yang aku tulis. Aku ingat lagi, penulisan awal aku ialah macam mana seorang perempuan ini boleh mempengaruhi aku untuk menaip di blog. Ketika itu juga cubaan aku menaip secara ilmiah tentang betapa muzik Malaysia ini patutnya lebih bereksperimentasi. Ketika itu, umur aku 18 tahun.

Masuk UiTM, aku sudah kurang menulis. Blog pun semakin diam. Ramai dah ke arena twitter, termasuklah aku. Blog aku kurang update. Mood menaip itu kurang, facebook dan twitter lebih mengasyikkan. Ada satu ketika, aku menaip pasal hubungan jarak jauh. Aku perasan, pembaca dah makin kurang. Ketika itulah aku ambil keputusan untuk tidak menulis di blog. Aku tutup.

Sehinggalah aku habis konvokesyen, aku rajin menonton filem. Hobi yang aku memang gemar sejak dari sekolah menengah. Tapi aku takda kawan yang sekepala untuk berkongsi pendapat tentang filem yang aku tonton. Ada tetapi tak ramai. Ketika inilah aku menyuntik adrenalin menulis di dalam diri aku. Aku taip movie review di facebook. Namun, ada yang kurang senang. Ada yang cakap aku ni acah-acah pandai. Aku pun tak pasti kenapa, yang aku tau, pendapat itu siapa-siapa pun boleh beri. Kalau kita acah-acah tak pandai pun susah, terperap idea, rugi.

Sampailah aku buat wordpress, lepas aku tonton dokumentari Sonic Highways. Steve Albini bercerita tentang apa yang dia buat. Aku aplikasikan ke dalam hidup aku. Aku menaip/menulis kerana aku punya suka. Kalau ada yang tak suka, itu mereka punya pasal. Kadang kala, dalam berkarya atau memberi pendapat, kita kena ada sikap macam Steve Albini, sikap “take it or leave it” atau dalam istilah aku, “pegi mampos”.

Bayangkan, kalau Steve Albini jadi insan yang menjaga hati orang, ambil kisah dan kecil hati dengan kritikan orang lain, adakah dia mampu menjadi penerbit album Nirvana-In Utero? Sudah tentu tidak.

Dalam menulis, aku tidak suka blog aku dicemari oleh iklan. Klik pangkah untuk masuk ke blog bukan gaya aku. Sejak dari zaman blogger, aku tak pernah nak letak iklan. Aku nak blog aku rasa bebas dan aku pun menulis dengan bebas. Aku tak suka dikongkong minda bila aku memberi pendapat.

Jadi, terima kasih aku ucapkan kerana sudi membaca semua review filem yang aku taip dan menjadi pembaca sejak dari tahun 2008.

Yang pasti, setiap pendapat itu adalah buah fikiran kita sendiri yang original. Pergi mampos lah orang nak cakap apa.