Movie Review- Captain America: Civil War+Hush+The Witch

FotorCreated.jpg

Oleh kerana 3 filem ini aku sudah tonton dan tak sempat nak review, maka hari ini aku review sekali 3.  Dihujung semester ini pelbagai tugas yang perlu diutamakan. Dalam masa 2 bulan ini, aku berjaya menonton 3 filem. 1 filem superhero Marvel, 2 filem horror. Yang satu tu dari Netflix.

Captain America: Civil War 

Filem ketiga Captain America, Civil War merupakan filem yang ideanya diambil dari komik dengan tajuk yang sama. Namun begitu, ia tidaklah melibatkan Marvel Universe secara keseluruhan. Ianya bermula apabila Tony Stark bersetuju menandatangani Perjanjian Sokovia manakala Steve Rogers menentang. Ditambah pula dengan Kemunculan Bucky/Winter Soldier yang dituduh terlibat dengan pengeboman di Vienna sehingga melibatkan kematian ayah T’Challa dan membawa penonton kepada satu watak baru iaitu, Black Panther.

Filem ini sememangnya filem popcorn superhero yang hebat. Inilah filem superhero yang peminat gemar. Ianya penuh dengan aksi dari mula sehingga habis. Secara psikologinya, filem ini sangat stress dan dark. Penonton dibawa menyelami perasaan hubungan persahabatan Steve Rogers dan Bucky yang sememangnya sangat emosional. Yang pasti, Avengers dalam filem ini terpisah menjadi 2 pasukan.

Watak Spiderman paling ditunggu. Cara Marvel memperkenalkan semula watak Spiderman sangat menjadi. Meskipun bukan sepenuhnya, ini boleh dikatakan ‘teaser’ kepada peminat sebelum kita menonton filem Spiderman: Homecoming pada tahun hadapan. Ant-Man dan Spiderman punya penampilan sedikit sebanyak membuatkan penonton terhibur.

Tak sabar hendak menunggu filem Avengers yang seterusnya. 8/10

Hush

Hush (2016) merupakan filem arahan Mike Flanagan yang pernah mengarah filem yang dibenci peminat-peminat filem seram, Oculus. Kali ini, beliau kembali dengan konsep Psikologikal thriller. Filem ini bermula dengan kehidupan seorang penulis terkenal yang bernama Maddie Young, tinggal di sebuah rumah dalam hutan belantara. Beliau ada satu ‘kelemahan’ yang aku tak boleh nak beritahu supaya penonton rasa puas. Beliau diskodeng oleh seorang lelaki untuk tujuan jahat. Apabila lelaki tersebut tahu kelemahan Maddie, dia mengambil keputusan untuk ‘bermain’ dengannya.

Apa yang aku boleh ulas, filem ini bagi aku sangat kreatif. Penonton dibawa kepada kepada ketakutan watak utama yang sememangnya mempunyai ‘kelemahan’. Act pertama dan act kedua membuatkan penonton terpaksa bersabar dengan watak jahat lelaki tersebut. Bila masuk act yang ketiga, watak utama sudah mula menonjol kerana dia sendiri sudah tahu bahawa kelemahan dia itu merupakan kelebihan beliau sendiri. Cuma satu benda aku kurang gemar, watak perempuan mesti ditonjolkan sangat lemah. Bagi aku, benda ni cliche dalam semua filem-filem horror Hollywood. Lemah satu hal, lepas tu kurang bijak.

Untuk filem Horror moden yang mampu membuat jiwa dan adrenalin aku memuncak, Hush merupakan filem yang bagus dan buat aku puas sehingga tamat filem. Jika anda ingin menonton filem ini, langganlah Netflix. Filem ini tak masuk panggung.

7.5/10

The Witch

Filem ini sebenarnya ditayangkan pada Festival Filem Sundance pada tahun 2015. Tahun ini ditayangkan di US. Filem ini mengisahkan sebuah keluarga yang tinggal di New England, (berlatar belakangkan abad ke 17) diusir keluar dari satu ladang kerana melanggar undang-undang (aku rasa). Jadi, keluarga ini tinggal di kawasan baru. Apa yang membuatkan mereka gusar apabila anak bongsu mereka yang baru sahaja 2-3 bulan diculik oleh Witch (Perempuan sihir). Disitulah bermulanya konflik dan kegusaran keluarga ini yang bukan sahaja datang dari luar, dari dalam keluarga ini sendiri.

Jalan cerita filem ini sangat-sangat perlahan. 1st act filem ini kadang kala membuatkan aku kurang sabar sebab aku perlu mengikuti perkembangan watak-watak yang diberi. Terutamanya watak Thomasin lakonan Anya Taylor-Joy. Namun begitu, perkara yang positif ialah bagaimana pengarah ini mengekalkan feel atau suasana yang seram meskipun tiada hantu yang muncul pada awalan filem. Soundtrack dan warna yang digunakan sesuai dengan mood keluarga ini yang sangat ‘gelap’.

Apa yang aku lihat, bagaimana kepercayaan dan ketaksuban seseorang itu kadang-kadang boleh memakan diri. Dalam filem ini, taksubnya seseorang itu terhadap sesuatu perkara datang dari dalam keluarga itu sendiri. Kepercayaan adalah kunci utama. Namun begitu, aku yakin tak ramai boleh hadam filem ini. Perlahan dan memerlukan kesabaran. Penamat filem ini menimbulkan pelbagai interpretasi penonton. Sebuah filem bagus. Untuk menonton filem ini kali kedua, aku tak sanggup. Bukan takut, tetapi penat.

7/10

 

Movie Review: Midnight Special (2016)

Midnight Special merupakan buah tangan terbaru Jeff Nichols selepas Mud (2012) dan persamaan dengan filem-filem sebelumnya? Ya. Michael Shannon. Gemar betul Jeff Nichols dengan Shannon. Ini merupakan filem pertama Sci-Fi nya. Kali ini Michael Shannon ditemani oleh pelakon-pelakon hebat, Joel Edgerton, Kirsten Dunst dan Adam Driver.

Roy Tomlin (Michael Shannon) merupakan bekas pengikut kultus agama dari Texas. Dia membawa lari anak kandungnya, Alton dengan dibantu oleh Lucas (Joel Edgerton). Namun begitu, Alton diburu oleh dua kumpulan. Satu, dari FBI kerana dia disyaki mengetahui rahsia kerajaan melalui nombor yang disebutnya ketika khutbah kumpulan kultus agama tersebut. Kedua, dia diburu oleh kumpulan kultus agama itu sendiri kerana Alton mempunyai kuasa supernatual. Roy menyedari bahawa Alton perlu dibawa ke tempat lain, tempat yang lebih selamat.

Perjalanan atau plot filem ini sebenarnya perlahan dan agak gelap (ini antara komen-komen yang aku baca dari pendangan orang ramai). Tetapi jika anda mengikuti filem Jeff Nichols sebelum ini seperti Mud, mungkin anda biasa. Apa yang aku faham ialah pembinaan watak utama yang penting dalam filem ini.

Dalam Midnight Special, watak Alton Meyer membuatkan penonton tertanya-tanya, apakah istimewanya budak kecil ini? Benarkah dia mengetahui rahsia kerajaan atau dia memang ada kuasa supernatural? Inilah persoalan yang bermain diminda penonton dan rasa ingin tahu apa yang jadi selepas itu sangat tinggi.

Sebut tentang watak lain, Michael Shannon berjaya membawa watak seorang bapa yang protektif dan mimik muka yang berjaya. Nampak bahawa beban yang dipikul oleh Roy Tomlin ini. Cuma watak Adam Driver sebagai Paul Severe tidak begitu mengasyikkan. Dia tidak berjaya menonjolkan watak ejen kerajaan yang  tenang, namun ada punchline yang mampu membuatkan penonton ketawa sedikit.

Secara kasarnya, filem ini berdiri diatas 2 perkara. Pertama, logik. Kedua, supernatural. Inilah 2 perkara yang mencabar minda penonton dan mungkin bermain-main di kepala. Adakah ini benar atau khayalan? Pada pendapat aku, Nichols berjaya membuatkan penonton ingin tahu.  Filem ini juga akan membawa penonton kepada satu perjalanan seorang budak mengenal dan mencari identitinya.

Jika anda gemarkan filem sains fiksyen, inilah filem yang patut anda tonton. Mungkin penamatnya akan membuatkan sesetengah penonton rasa macam mengarut. Dalam pengamatan aku, filem ini ditahap ok. Tetapi, untuk membuatkan aku rasa hendak menonton buat kali kedua, tidak.

7.5/10