Berbual Dengan 3 Orang Pemandu Uber

IMG_0713.0.0.jpg

Setakat ini, aku pernah menggunakan perkhidmatan Uber sebanyak 4 kali. Malangnya, pertama kali aku guna, aku tak bertanya pun. Aku diam, dia pun diam. Sebab lain pula adalah aku sibuk reply email melalui telefon bimbit pintar aku. Memandangkan esoknya aku ada urusan yang banyak, maka aku buat sedikit kajian sosial dan perasaan mereka yang memandu Uber. Semua nama lokasi dan nama pemandu aku tidak dedahkan atas sebab-sebab yang tertentu.

Perjalanan Pertama: Dari tempat kerja ke rumah

Aku perlu pulang ke rumah kerana benda yang aku dah taip di Microsoft Word tertinggal dalam PC di rumah aku. Jadi aku perlu bergegas. Selalunya aku akan naik teksi, teksi akan berhenti jauh sedikit dari rumah aku sebab meter akan tunjuk aku akan dicaj sebanyak RM 7. Jadi, aku cubalah naik Uber. Dapat. Dia terus call aku. Nasib aku baik, dia tidaklah jauh dari lokasi tempat aku menunggu. Myvi. Aku naik, duduk depan. Aku pun berbual lah dengan dia.

Katanya, dia sudah menjadi pemandu Uber dekat 3 bulan. Memandu Uber merupakan pekerjaan tetapnya sekarang. Dalam seminggu, pendapatannya boleh mencecah RM 1000. Namun begitu, keretanya adalah kereta sewa. Jadi, dia terpaksa membayar kereta sewa, tolak semua dapatlah dalam RM 500. Nasihat dia kepada aku ialah, jika aku ingin menjadi pemandu Uber, gunalah kereta sendiri.

Bila aku tanya jika pihak berkuasa menyuruh semua pemandu Uber memiliki lesen PSV (Lesen Memandu Awam), dia kurang bersetuju sebab bagi dia, Uber adalah konsep kereta tumpang. Sebab itu dia lebih murah dan santai. Kalau macam tu katanya, lebih baik dia bawa teksi.

Menariknya, dia hantar sampai depan rumah aku. Wow.

2.26 KM = RM 2.70

Perjalanan Kedua: Dari Rumah ke Stesen LRT

Dari rumah aku, aku perlu ke Stesen LRT. Kali ini aku dapat seorang lelaki, warga emas. Dia bawa kereta Toyota Vios. Aku naik dan mula bertanya. Dia mempunyai jawapan yang berbeza. Dia faham kenapa pemandu teksi marah dengan Uber. Katanya, Uber memberi perkhidmatan dengan harga yang murah. Dia berpendapat lebih baik harga teksi dan Uber diselaraskan supaya ada situasi ‘win-win’ antara dua pihak. Aku melihat pemandu Uber yang kedua ni lebih bersifat aman dan faham dengan situasi pemandu teksi. Aku pun setuju dengan pendapat dia. Namun itu terpulang kepada pihak berkuasa.

Dia pun menjadikan pekerjaan pemandu Uber ini sebagai pekerjaan sepenuh masa. Katanya, dia pernah memohon kerja di sebuah kedai. Namun, kedai itu menolak pemohonannya kerana dia sudah tua. Namun begitu, baginya, tiada duit apa nak makan? Maka dia melihat Uber sebagai pekerjaan yang mampu menyara kehidupannya. Dia juga mempunyai pemikiran yang positif dan pandang jauh. Dia melihat, teknologi dan aplikasi moden seperti Uber ini memudahkan manusia pada masa akan datang dan dia berharap semua kenderaan awam mengoptimumkan penggunaan dan kemajuan aplikasi ini.

0.62 KM = RM 2.66

Perjalanan Ketiga: Dari Stesen LRT ke Tempat Kerja

Yang ketiga ini berbeza. Dia suruh aku jalan jauh sikit dari tempat yang aku letak pin. Katanya, dia takut dengan jika-jika ada yang menyerang dia. Wah. Takpa. Aku pun jalan sikit. Kali ini aku dapat Proton Persona. Dengan dia aku kurang sikit bercakap. Tapi, katanya dia sudah menjadi pemandu Uber dekat  bulan dan ini sebagai pekerjaan Separuh Masa. Cuma dia berjaga-jaga bila memandu. Jarak dari Stesen LRT ke tempat kerja pun dekat sangat, tak banyak benda aku boleh berbual dan dia pun jenis jawab sepatah. Tapi dia ada bagitahu yang dia enjoy dengan pekerjaan ini. Yang penting, dia hantar sampai depan pintu tempat kerja.

1.16 KM = RM 2.81

Kesimpulan

Aku melihat Uber ini sebagai satu persaingan. Cuma ia perlulah bersaing dalam keadaan sihat. Seperti pemandu kedua tu cakap. Yang penting, zaman moden ini kita perlu bergerak ke hadapan dengan menggunakan kelebihan aplikasi yang sebenarnya sudah memudahkan kita, tidak kira apa jenis kenderaan awam pun.

Hari Ini Aku Menulis Kerana Steve Albini

Jika anda gemar mendengar muzik punk dari Amerika Syarikat, sudah tentu anda mengenal Steve Albini, seorang pemuzik, penerbit dan jurutera muzik yang bertapak di Chicago. Albini juga dikenali kerana menerbitkan album-album dari kumpulan rock yang terkenal seperti Nirvana-In Utero, Pixies-Suffer Rossa, Manic Street Preachers-Journal for Plague Lovers dan Bush-Razorblade Suitcase.

Diawal kareernya, Albini mempunyai kumpulan rock yang membawakan muzik post hardcore dan noise rock yang dipanggil, Shellac. Semasa menonton dokumentari mini dari Foo Fighters, Sonic Highways, ada satu temu duga dari MTV.Steve Albini memberikan pendapatnya tentang muzik yang mereka bawa. Untuk lebih faham, anda boleh dengar di youtube. Bagi Albini, dia lebih gemar membuat muzik bukan kepada orang ramai. Dia buat muzik kepada siapa yang sudi sahaja dan sudah tentu akan ada pendengarnya.

Tambah pula, Albini tidak mengharapkan sebarang royalti apabila dia menerbitkan album kumpulan tersebut. Inilah yang berlaku apabila album Nirvana-In Utero terjual sebanyak 5 juta keping di Amerika Syarikat sahaja. Albini hanya caj guna studio dia. Itu sahaja. Dia memang seorang yang sangat gemarkan muzik punk dan bising. Dari situ kita nampak bagaimana dia menghargai muzik itu tanpa mengharapkan jutaan wang. Apa yang dia buat hanyalah satu cinta terhadap apa yang dia gemar.

Sikap Albini ini telah menyebabkan aku menulis perkara ini. Aku mengambil sikap Steve Albini untuk dijadikan contoh.

Aku sudah menceburi bidang menaip di blog ini secara tidak rasmi pada tahun 2008. Ketika itu aku gunakan blogger sebagai platform untuk aku meluahkan perasaan. Sebelum itu, waktu aku tingkatan 2 sehingga 4, aku gemar menulis di dalam buku yang aku beli. Boleh dikatakan sebagai diari. Aku ingat lagi macam mana aku tulis tentang kesusahan orang kidal seperti aku untuk belajar gitar sebab ramai kawan paksa aku main gitar tangan kanan, aku tulis betapa besarnya album Green Day-American Idiot dalam menghiburkan kepala aku ketika aku tingkatan 3 dan macam-macam lagi. Lepas aku pindah rumah, aku lupuskan buku tu. Silap.

Masuk 2008, aku tingkatan 6. Ketika itulah aku mula berjinak dengan blog. Bezanya, blog ini lebih awam, semua orang boleh baca apa yang aku tulis. Aku ingat lagi, penulisan awal aku ialah macam mana seorang perempuan ini boleh mempengaruhi aku untuk menaip di blog. Ketika itu juga cubaan aku menaip secara ilmiah tentang betapa muzik Malaysia ini patutnya lebih bereksperimentasi. Ketika itu, umur aku 18 tahun.

Masuk UiTM, aku sudah kurang menulis. Blog pun semakin diam. Ramai dah ke arena twitter, termasuklah aku. Blog aku kurang update. Mood menaip itu kurang, facebook dan twitter lebih mengasyikkan. Ada satu ketika, aku menaip pasal hubungan jarak jauh. Aku perasan, pembaca dah makin kurang. Ketika itulah aku ambil keputusan untuk tidak menulis di blog. Aku tutup.

Sehinggalah aku habis konvokesyen, aku rajin menonton filem. Hobi yang aku memang gemar sejak dari sekolah menengah. Tapi aku takda kawan yang sekepala untuk berkongsi pendapat tentang filem yang aku tonton. Ada tetapi tak ramai. Ketika inilah aku menyuntik adrenalin menulis di dalam diri aku. Aku taip movie review di facebook. Namun, ada yang kurang senang. Ada yang cakap aku ni acah-acah pandai. Aku pun tak pasti kenapa, yang aku tau, pendapat itu siapa-siapa pun boleh beri. Kalau kita acah-acah tak pandai pun susah, terperap idea, rugi.

Sampailah aku buat wordpress, lepas aku tonton dokumentari Sonic Highways. Steve Albini bercerita tentang apa yang dia buat. Aku aplikasikan ke dalam hidup aku. Aku menaip/menulis kerana aku punya suka. Kalau ada yang tak suka, itu mereka punya pasal. Kadang kala, dalam berkarya atau memberi pendapat, kita kena ada sikap macam Steve Albini, sikap “take it or leave it” atau dalam istilah aku, “pegi mampos”.

Bayangkan, kalau Steve Albini jadi insan yang menjaga hati orang, ambil kisah dan kecil hati dengan kritikan orang lain, adakah dia mampu menjadi penerbit album Nirvana-In Utero? Sudah tentu tidak.

Dalam menulis, aku tidak suka blog aku dicemari oleh iklan. Klik pangkah untuk masuk ke blog bukan gaya aku. Sejak dari zaman blogger, aku tak pernah nak letak iklan. Aku nak blog aku rasa bebas dan aku pun menulis dengan bebas. Aku tak suka dikongkong minda bila aku memberi pendapat.

Jadi, terima kasih aku ucapkan kerana sudi membaca semua review filem yang aku taip dan menjadi pembaca sejak dari tahun 2008.

Yang pasti, setiap pendapat itu adalah buah fikiran kita sendiri yang original. Pergi mampos lah orang nak cakap apa.

Pendidikan: Salahkan Siapa?

2 hari yang lepas ada seorang budak di akaun twitternya yang membidas pelajar yang mengharapkan biasiswa dan paling hebat, dia menyalahkan ibu bapa pelajar sebab miskin.
Bagi aku, kenyataan sebegini amatlah tidak masuk akal. Benar, ada ibu bapa yang tidak berpelajaran tinggi dan tidak mempedulikan kualiti pendidikan anaknya. Bukan semua.

Ada ibu bapa yang sanggup membelanja wang supaya anaknya belajar tinggi meskipun dia tidaklah berpendidikan tinggi dan kerja gaji yang lumayan. Namun begitu, ibu bapa sebegini ada mentaliti yang berbeza. Dia tak nak anak dia susah pada masa akan datang.

Ibu bapanya miskin, itu lumrah kehidupan. Mungkin waktu sekolahnya dulu, dia tidak dapat menyambung pelajaran kerana faktor wang dan keluarga. Kena ingat, ini zama pasca merdeka, awal merdeka. Mentaliti masyarakat sudah tentu berbeza.

Tentu dia mahu anaknya berjaya supaya dia juga boleh menumpang kejayaan tersebut. Aku selalu berpesan pada diri, pendidikan mampu mengubah hidup. Aku juga datang dari keluarga yang susah, namun aku tekad untuk membaiki taraf hidup aku dengan pendidikan.

Jadi golongan seperti kami juga berfikiran realistik. Pendidikan tinggi Malaysia bukanlah murah. Dengan biasiswalah orang yang miskin, bapanya sedang bertarung nyawa di laut dan di sawah atau sekadar bekerja cukup makan,  perlukan wang untuk membayar yuran dan belanja hidup.

Aku tak pasti sama ada budak tu troll atau apa, namun aku rasa tak patut dia bagi kenyataan sebegitu. Kalau rasa diri tu senang sangat sekarang, ingatlah. Senang ni bukannya kekal lama. Kalau Allah nak tarik kejap sahaja.

Sejauh Manakah Anda Boleh “Move On”?

Semua manusia pasti merasai apa itu cinta. Kalau tidak berakad pun, jatuh cinta pasti ada. Itu Lumrah manusia. Jika seseorang manusia itu mula jatuh cinta, dia membawa kepada 2 jalan. Satu, jalan kebahagiaan. Dua, jalan kekecewaan. Aku ingin sentuh bab kekecewaan.

Bukan semua cinta itu berjaya. Tidak. Yang tak berjaya ini sebenarnya mengalami satu frasa kekecewaan yang boleh bawa ke satu jangka masa yang panjang. Ini juga boleh membawa kepada tekanan perasaan, gangguan emosi dan paling teruk, bunuh diri.

Orang disekeliling pasti akan berkata sebegini, “move on lah, orang tu dah bahagia dengan orang lain”. Aku setuju. Move on itu adalah cara terbaik. Terimalah hakikat yang kau tiada jodoh dengannya. Sejauh manakah dia boleh move on? Terpulang kepada individu. Ada sesetengah individu, dah kena tipu dengan kekasih pun masih tak boleh move on. Dia akan terhegeh-hegeh kembali kepada bekas kekasihnya atau merayu memujuk supaya menerimanya.

Ada pula, dia sering bermadah, mencari idea, berkarya sebagai escapism nya untuk cuba melupakan bekas kekasihnya, tapi modal karya, kisah cinta lamanya. Seperti Zainuddin dalam novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck karya Hamka.

Mengapa begini? Aku juga pernah mengalami perkara ini dan juga sehingga sekarang, masih ada. Satu tahap, kau mula terkenang saat-saat kau kenal dengan orang yang kau suka tu, waktu gembira sampailah waktu kau kecewa. Ada satu tahap teruk, kau akan menangis meratap. Sampai tahap terakhir, kau akan bosan. Serius. Kau macam, “ah, sudah-sudahlah, bukannya si dia tu tau aku menderita. Dia tengah sedap bahagia dengan orang baru”

Adakah kau terus lupa? Kau ‘cuba’ untuk lupa. Macam aku, aku mula mengumpul blu ray, mengumpul komik, membeli konsol sony ps4 (Sampai sekarang jadi hobi aku). Semua semata-mata nak lupakan orang yang pernah aku suka. Kembali kepada point aku, escapism. Aku terpaksa menipu diri sendiri untuk move on. Satu tahap, aku pergi tengok dia punya facebook, instagram, twitter dan segala info dan berita terkini. Kalau nasib baik, kau tak kena block. Dalam kes aku, kena block. Jadi, terhad lah maklumatnya.

Akhirnya, aku mengaku kalah. Doa yang terbaik sahajalah. Buat apa nak simpan perasaan dendam marah dengki sedih ni. Sejauh mana aku move on? Aku pun tak pasti. Kadang-kadang buat aku teringat. Yang penting, aku hanya doakan dia bahagia kalau itu yang boleh buat dia gembira. Bunyi macam loser ayat tu. Aku dah 26 tahun. Aku perlu matang dalam hal ini.

Sejauh manakah manusia lain move on? Percayalah, manusia takkan boleh move on 100%. Jika bekas kekasih kau masa sekolah menengah kahwin pun kau akan teringat kisah lama, kau akan rasa macam “ala, dah kahwin dah rumanya ex aku ni”, “kalau jodoh panjang ni, memang aku lah jadi suami/isteri dia”. Bagi aku, ini adalah normaliti manusia. Di sudut rak ingatan otak kau, mesti ada teringat.

Terpulanglah pada anda yang lain, macam mana nak move on. Hargailah hidup ini. Perjalanan masih panjang.

Kereta = Kaya?

Baru-baru ini, aku lepak dengan seorang kawan yang lama dah tak jumpa. Dia baru sahaja menamatkan pengajian ijazahnya. Senang cerita, dia baru sahaja bekerja. Dia membuka perbualan:

“wei, kawan aku masa sekolah asrama dulu ada yang dah beli Honda City. Aku ni kereta pun takda.”

Aku pun jawab, “Rileks la. Kau baru kerja. Simpan duit sikit-sikit, nanti boleh guna macam-macam, nak kawin, beli rumah”

“Bukan apa, at least kalau aku beli kereta, baru nampak hasil aku dah habis belajar ni”

Dia pula bertanya kepada aku, “Kau dah 2 tahun kerja kat UM, taknak beli kereta ke?”

“Belum lagi kot. Aku simpan duit je dulu. Lagi pun, rumah aku dekat dengan UM. Naik bas pun boleh. Balik tu aku tumpang kawan aku je.” aku balas dengan penuh berhemah

“Kereta ni bukan je keperluan. Kau pakai ni nanti ramai awek pandang. Baru nampak kau berduit sikit. Ini tak, sama je.”

Aku tamatkan perbualan aku dengan dia kat situ. Katanya, bila kau pakai kereta, automatik kau nampak kaya atau nampak hasil lepas habis belajar. Benar. Kadang-kadang, kau perlu ada satu benda untuk menampakan kau stabil dalam hidup. Cara paling mudah ialah kau beli kereta. Tetapi, harga untuk kau impress kan orang bukanlah murah. Kau terpaksa berhutang selama 9 tahun dan dalam masa 9 tahun itu macam-macam boleh jadi kat kereta kau dan diri kau. Kena tarik sebab tak bayar tu antara salah satunya.

Bagi aku, ada kereta memang senang. Di negara kita, ramai aku perati tak berapa suka menaiki kenderaan awam. Faktor utamanya ialah masa. Ramai pengguna seperti aku yang gemar mengguna kenderaan awam agak gusar dengan hal ini. Sebab tu ramai lebih gemar menaiki kereta dari menaiki kenderaan awam.

Kembali kepada point awal. Dia cakap, nampak kau berduit, nampak ada hasil. Kenapa kita gemar menggunakan istilah ada kereta ni kau stabil atau kaya? Tak salah pun ada kereta asalkan kau pandai jaga dan bayar duit kereta on time. Tapi untuk ukur kekayaan seseorang melalui kereta, aku rasa tak adil.

Macam aku, aku tak suka dibebani hutang yang melampau. Aku takutkan komitmen dari segi wang, meskipun aku sudah ada satu dan bakal berhutang satu hari nanti. PTPTN adalah satu pinjaman yang aku konsisten bayar kerana perinsip aku, hutang kena bayar. Sebab itu aku belum ada perasaan untuk membeli kereta.

Secara peribadi, aku lebih gemar beli aset seperti tanah. Tanah adalah benda paling mahal di Malaysia. Bila tanah melambung, rumah pun turut serta. Sebagai anak jati Kuala Lumpur yang membesar di kawasan kepesatan kota, aku sudah mula menerima hakikat bahawa satu hari nanti aku tak boleh tinggal di Kuala Lumpur. Aku bakal tinggal di pinggir lembah klang seperti Nilai, Banting, Rawang atau Tanjung Malim.

Nasib aku agak baik, kini keluarga aku sedang membina rumah sendiri atas tanah mak aku di Banting. Benda ni amat membuka mata aku dan kebetulan pula, brader yang buat rumah kontena tu dekat dengan kampung aku. Dia datang dari jauh, Johor dan beli tanah kat situ. Katanya dalam satu temu ramah di TV, budak muda perlu ada tanah. Aku setuju. Benda ni patut ditekankan.

Selain kau buat rumah, kau boleh berbudi dengan tanah. Cucuk tanam, ada hasil, jual. Kalau nak hasil dunia akhirat, boleh wakaf tanah tu kepada anak yatim.  Aku sudah merancang untuk membeli tanah untuk kegunaan bakal isteri dan anak aku (kalau ada jodoh), bila nak kahwin, barulah aku berfikir untuk beli kereta. Selain tu aku mula rajin melabur dalam ASB.

Kembali kepada kisah member aku, aku harap dia fikir jauh dan tidak menganggap kereta tu boleh memuaskan hati orang ramai. Kita kena kembali kepada asas manusia, cari tempat tinggal SENDIRI.