Movie Review: Arrival (2016)

Image result for arrival 2016

Denis Villeneuve kali ini muncul dengan filem terbarunya, Arrival. Jika dilihat dari poster dan trailer filem ini, ramai yang akan menganggap filem ini merupakan filem alien invasion. Sebenarnya bukan. Secara peribadi, apabila aku melihat nama Denis Villeneuve, aku dah agak yang filem ini bukan filem alien yang biasa.

Filem ini mengisahkan dimana dunia telah didatangi oleh 12 biji kapal angkasa turun ke bumi. Dr. Louise Banks, pakar bahasa telah dijemput oleh tentera Amerika Syarikat untuk menjadi penterjemah bahasa antara pihak manusia dan alien tersebut. Masalahnya, bahasa alien tersebut bukanlah satu bahasa yang mudah untuk difahami dan Dr. Louise Banks cuma menghuraikannya.

Related image

Plot filem ini sebenarnya tidaklah selari. Penonton disajikan dengan dua plot yang berbeza iaitu plot Dr. Louise dengan anak perempuannya yang anda akan tahu bahawa anak perempuannya mati kerana kanser. Yang kedua ialah plot dimana Dr. Louise perlu berhadapan dengan alien tersebut. Bagi aku, permulaan filem ini sangat perlahan. Ianya memerlukan kesabaran aku dalam menghurai dan cuba menghadam apa yang hendak disampaikan.

arrival3

Apabila masuk babak buat kali pertama mereka masuk ke dalam kapal angkasa tersebut, ditemani skor muzik yang hebat dari Johann Johansson, ketika itulah otak aku mula bergerak sehinggalah ke akhir filem. Jalan cerita filem ini bergerak dengan begitu berhati-hati dan cermat supaya penonton tidak terlepas babak demi babak, dialog yang disampaikan juga sebenarnya memberikan gambaran dan jawapan kepada penghujung filem ini. Ianya digarap dengan tidak terburu-buru.

Banyak istilah-istilah bahasa yang aku dapat tahu sebagai contoh, Palindrome iaitu perkataan yang jika dieja terbalik pun sama juga sebutannya dan juga Sapir-Whorf hypothesis dimana persepsi kita akan berubah selari dengan bahasa yang kita fahami. Jika anda pernah menonton filem ini, anda akan tahu bahawa elemen-elemen ini sebenarnya yang menjadi pengukuh kepada plot filem ini.

Amy Adams. Lakonan beliau adalah top notch dalam filem ini. Beliau mempunyai 2 perwatakan yang berbeza. Seorang ibu dan seorang pakar bahasa. Lantunan suaranya ketika bertutur dengan seorang anak menampakkan beliau seorang ibu yang baik. Nada beliau ketika memberi penerangan tentang struktur bahasa, sangat jelas. Lakonan beliau sangat menjadi dan hebat. Aku berpendapat bahawa Amy Adams salah seorang calon yang perlu ada dalam Academy Awards, kategori Pelakon Wanita Terbaik. Watak Jeremy Renner sebagai Ian Donnelly pada awalannya nampak seperti tidak berkembang. Tetapi penghujung filem ini anda perlu tahu sendiri, fungsi watak Jeremy Renner sebagai Dr. Ian Donnelly.

Aku melihat filem ini sebagai satu pertembungan antara sains fiksyen dan bahasa. Seperti apa yang dicakap oleh Dr. Louise dalam filem ini, bahasa merupakan asas tamadun dan merupakan senjata pertama dalam perperangan. Orang yang berfikiran sains tulen pasti akan menyanggah pendapat ini termasuklah Dr. Ian dalam filem ini. Sesuatu yang bagus boleh anda fikirkan setelah menonton filem ini ialah bagaimana komunikasi itu dapat disampaikan meskipun berbeza bahasa. Selain itu, filem ini agak seronok untuk dibincangkan bersama rakan-rakan meskipun plotnya yang mungkin sedikit kompleks, berbaloi untuk diperkatakan semula.

9/10

Leave a comment